Friday, November 13, 2015

Pemandu Peribadi adalah Kakitangan Domestik.

Terlindung di bawah label "pemandu" terdapat segolongan pekerja yang mempunyai perlindungan terhad di bawah Akta Kerja 1955. Pemandu Peribadi jika mematuhi syarat-syarat di bawah tafsiran "kakitangan domestik" akan menyebabkan mereka mempunyai perlindungan terhad.

Syarat-syarat berikut;
1. tugasannya berkaitan kediaman peribadi,
2. tiada kaitan dengan perniagaan majikan,
3. kenderaan yang dipandu dilesenkan untuk kegunaan peribadi,
jika dipatuhi maka pemandu peribadi ini adalah "kakitangan domestik" di bawah seksyen 2 Akta Kerja 1955.

Kesan dari tafsiran ini adalah besar kerana faedah minima untuk seorang kakitangan domestik tidak meliputi waktu berkerja, cuti sakit, hari kelepasan am, cuti tahunan dan beberapa faedah yang dinikmati pekerja di bawah Jadual Pertama Akta Kerja 1955.
Tempoh notis penamatan minima pula hanya dua minggu berbanding pekerja terjadual  lain iaitu empat minggu.

Walaubagaimanapun jika mereka diberi surat lantikan, memasukkan syarat-syarat perkhidmatan seperti cuti-cuti berkaitan termasuk bayaran lebihmasa maka majikan perlu mematuhinya dan tidak boleh pula menggunakan Jadual Pertama mengecualikan pemakaian syarat-syarat perkhidmatan berkenaan ke atas golongan ini.

Berbeza dengan pemandu yang mengendalikan kenderaan digerakkan mekanikal untuk tujuan pengangkutan penumpang atau barang atau ganjaran atau tujuan komersil, yang mendapat perlindungan penuh di bawah Jadual Pertama seperti pemandu lori, pemandu limo, pemandu bas, pemandu peribadi secara eksklusif hanya memandu untuk satu individu atau pun ahli keluarga dan mana-mana orang lain atas arahan tanpa melibatkan unsur-unsur ganjaran atau komersil dan mendapat bayaran kerana perkhidmatan pemanduan yang diberi.

Mungkin perkara utama yang dinilaikan ialah tiada perkaitan secara langsung atau jelas antara tugasan pemanduan seorang pemandu peribadi dengan perniagaan majikannya menyebabkan kategori pemandu ini perlu diasingkan dari tafsiran pemandu syarikat.

Seterusnya kenderaan yang pandu yang dilesenkan untuk kegunaan peribadi berbanding komersil juga perlu diambilkira, malah "penumpang" bagi maksud Jadual Pertama pengendali jentera digerakkan mekanikal tidak merujuk orang yang dibawa oleh seorang pemandu peribadi.

Adalah disimpulkan, jika berhadapan dengan seorang pemandu peribadi, maka perlu menyiasat dengan teliti, jika diputuskan dia adalah pengendali (pemandu) jentera digerakkan mekanikal faedahnya lebih luas berbanding memutuskan pemandu itu seorang kakitangan domestik.