Sunday, December 6, 2015

Ke mana mengadu : Pekerja yang dipecat.

Seorang pekerja yang dipecat secara asasnya mempunyai tiga (3) saluran pengaduan, bergantung kepada hasrat dan tertakluk kepada setiap pemecatan yang mempunyai alasan pelbagai. Jika majikan memecat secara bersurat/ bertulis tindakan lebih mudah diambil, namun pemecatan lisan juga masih boleh diadukan mengambilkira setiap perundangan berkaitan hubungan majikan pekerja mengiktiraf syarat-syarat perkhidmatan bertulis atau lisan, nyata atau tersirat.

Apa itu pemecatan?

Pemecatan ialah penamatan kerja seorang pekerja oleh majikan, sering dikaitkan dengan isu-isu disiplin. Perhubungan perusahaan atau pentadbiran sumber manusia menggunakan pendekatan isu-isu salahlaku berbanding disiplin untuk meluaskan pemakaian terma pemecatan untuk mewajarkan tindakan pemecatan.
Ke mana mahu mengadu?
Pekerja yang dipecat boleh membuat pengaduan ke tempat-tempat berikut jika dipecat;

1.Pejabat Buroh

Jika anda meminati filem-filem seniman agong P. Ramlee, ada satu babak S. Shamsudin ke Pejabat Buroh. Selain itu filem-filem P. Ramlee juga ada menggambarkan cuti-cuti seperti ‘public holiday’ dan ‘half day’. Cuma kini Pejabat Buroh sudah tiada tetapi sudah diubah nama kepada Pejabat Tenaga Kerja. Menguatkuasakan Akta Kerja 1955 (Akta 265) seseorang pekerja yang dipecat boleh mengadu di pejabat ini untuk tuntutan bayaran-bayaran tunai yang belum terbayar.
Selain itu sebagai tuntutan tambahan gaji ganti notis dan faedah penamatan dan baki cuti tahunan yang tidka habis diambil juga boleh dituntut.
Cuma terdapat halangan dari segi had gaji, kerana Pejabat Buroh hanya melindungi pekerja-pekerja yang berada di dalam Jadual Pertama iaitu mereka yang bergaji dua ribu ringgit (RM 2,000.00) dan  sekiranya gaji melebihi had perlu menilai mereka terlibat dalam ‘labour of brain’(kerja dengan penaakulan) atau ‘labour of energy with majority of physical extortions’ (kerja kasar/ berat/ manual)

2. Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Pekerja yang dipecat dan mempunyai niat berkerja semula mempunyai satu kaedah yang dibenarkan undang-undang untuk dipulihkan ke jawatan asalnya tanpa perlu ke mahkamah sivil. Malaysia mempunyai satu undang-undang yang boleh memaksakan majikan menerima kembali pekerja yang telah dipecat melalui seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177)
Had masa enam puluh 60 hari dari tarikh pemecatan wujud bagi pengaduan ini, maknanya pengaduan tidak boleh difailkan pada hari keenam puluh satu selepas dipecat.
Sekiranya tidak sesuai dipulihkan ke jawatan asal, Mahkamah Perusahaan ada memerintahkan pembayaran pampasan menggantikan pemulihan jawatan.

3. Mahkamah Sivil

Hubungan majikan-pekerja atau kontrak perkhidmatan adalah suatu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan undang-undang. Pekerja yang dipecat boleh mendapatkan khidmat guaman untuk menyaman bekas majikan. Berdasarkan hubungan majikan-pekerja, jangkaan tempoh perkhidmatan hingga umur bersara minima enam puluh tahun, bonus-bonus, kenaikan gaji tahunan antara tuntutan kewangan yang boleh diambilkira disamping gantirugi lain.
Bagi pekerja yang tidak dilindungi Akta Kerja 1955 dan tidak mahu dipulihkan jawatan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan dana yang besar untuk mengambil peguam bolehlah memikirkan kaedah ini;

Kesimpulan

Jika anda dipecat, sila pergi ke pejabat buroh berhampiran dahulu dan dapatkan nasihat berdasarkan merit kes, pilihan pengaduan di Pejabat Buroh, Jabatan Perhubungan Perusahaan atau tuntutan sivil adalah hak anda.