Monday, June 20, 2016

Mekanik penciptaan pekerja.

Salah satu kaedah penyelesaian pertikaian perhubungan perusahaan ialah dengan memahami bagaimana hubungan majikan pekerja boleh wujud. Bagaimana ia dicipta, di mana asalnya.
Masih lagi menggunakan teori fungsi majikan, dan mengambil model entiti perniagaan untuk memudahkan kefahaman. Peringkat awal suatu perniagaan, terutamanya milik tunggal seperti perniagaan nasi lemak. Setiap fungsi dilaksanakan sendiri.
Bermula dengan pembelian (purchase) bahan mentah, pembuatan (production), jualan dan pemasaran ( sale and marketing) kemudian kira-kira(book keeping) hinggalah kawalan kualiti (QC) dilaksanakan sendiri. Sehingga berlaku pertambahan dalam permintaan (surplus demand) maka bekalan/ penawaran (supply) perlu ditingkatkan. Pada peringkat inilah, ruang wujud, perniagaan perlu memutuskan mana-mana fungsi perlu diserahkan kepada pihak lain. Keputusan perlu dibuat di peringkat ini untuk mewujudkan kontrak perkhidmatan/ pekerjaan atau lain-lain bentuk hubungan seperti kontraktor bebas (independent contractor) atau sumber luar(out-source)
Jika memilih kontrak perkhidmatan, maka wujudlah pekerjaan. Begitulah wujudnya hubungan majikan pekerja.

Sunday, June 19, 2016

Majikan dan pekerja : suatu pendekatan fungsional.

Kita sering terfikir adakah menyiapkan tugasan atau kerja merupakan syarat gaji dibayar. Peruntukan undang-undang yang digubal parlimen seperti Akta Kerja 1955 juga tidak memudahkan perkara ini apabila menafsirkan gaji adalah untuk kerja dilakukan atau "work done".
Akibat pandangan gaji kerana tugas yang siap ini, salah satu pembelaan bekas majikan semasa perbicaraan kes buruh adalah kerja tak siap, tidak buat serah tugas atau "handover" yang tidak sempurna.
Jika teori, pekerja digajikan untuk mengambilalih fungsi majikan yang kurang penting agar majikan boleh melaksanakan fungsi lebih penting , persoalan kerja tak siap atau serahtugas tidak menjadi isu. Pemecatan atau pemberhentian pekerja hanyalah proses memulangkan fungsi yang pada asalnya adalah tanggungjawab majikan.
Pembayaran gaji sebagai balasan dalam kontrak perkhidmatan adalah ganjaran penyerahan sementara kebebasan diri oleh pekerja untuk dikawal pergerakan dalam tempoh tertentu (hari-hari dan waktu kerja) bukan kerana siapnya suatu tugas. Malah isu kerja siap pula adalah kawalan majikan yang menentukan apa dan bagaimana suatu tugasan perlu dilaksanakan.
Bekas pekerja hanya perlu membuktikan sepanjang tempoh tuntutan gaji dia berada dalam kawalan majikan (at the disposal of the employer to receive his instructions as he sees fit at his whim and fancy), maka jika pekerja ponteng tidaklah layak ke atas gaji yang dituntut.
Persoalan kerja dengan sengaja enggan disiapkan tidak timbul, jika pekerja berhenti sendiri maka ia hanyalah memulangkan kembali fungsi asal majikan. Pekerja yang sedang berkhidmat pula boleh ditangani melalui proses disiplin.
Kaunseling, surat amaran dan lain-lain kaedah pengurusan sumber manusia dalam menangani isu kerja tidak siap ini pula akan membantu majikan mewajarkan penamatan penyerahan sementara atau pemulangan fungsi kurang penting majikan kepada pekerja.
Jika fungsi majikan yang diserah kepada pekerja dikembalikan kepada majikan, pertambahan fungsi yang dilaksanakan majikan akan berlaku berbanding semasa ada pekerja. Bebanan mungkin tidak tertanggung. Ini akan menyebabkan majikan berfikir panjang sebelum memecat seorang pekerja.
Kesimpulannya gaji adalah ganjaran penyerahan kebebasan diri seorang pekerja berbanding bayaran untuk menyiapkan kerja.