Friday, November 11, 2022

AKTA KERJA 1955 [AKTA 265]

"An Act relating to employment."

Akta Kerja 1955 seperti "preamble"nya adalah suatu akta yang digubal oleh parlimen untuk menjawab soalan dan persoalan yang timbul dari hubungan pekerja dan majikan.

Sesiapa yang membacanya akan menemui tanggungjawab asas seorang pekerja dan seorang majikan. Maka isu pertama yang perlu diselesaikan ialah siapa "pekerja". Seksyen 2 menafsirkan pekerja sebagai orang yang tergolong di bawah Jadual Pertama dan yang diperintahkan oleh YB Menteri Sumber Manusia.

Apa signifikan perkataan "pekerja" atau tafsiran pekerja di bawah Jadual Pertama ini, bagi yang tidak biasa membelek akta ini bolehlah Google "LOM Employment Act" dan jika di bawa ke laman Jabatan Peguam Negara (AGC) betullah kerana LOM itu Law Of Malaysia iaitu lubuk akta dalam bentuk pdf. Selain kedai-kedai buku seperti MPH dan Popular atau SMO. 

Versi pdf ini Jadual Pertama (First Schedule) ada di belakang kerana tiada peraturan-peraturan seperti Peraturan-peraturan kerja 1957, Peraturan kerja (faedah penamatan dan rentikerja sentara) 1980 atau peraturan berkaitan pekerja separa masa disertakan.

Setiap kali perkataan 'pekerja' muncul pada muka surat akta itu contohnya:

"...Holidays

60D. (1) Every employee shall be entitled to a paid holiday at his ordinary rate of pay on the following days in any one calendar year:..."

maka yang mendapat hari kelepasan berbayar adalah pekerja di bawah Jadual Pertama Akta Kerja 1955. Seorang Penolong Pengurus yang bergaji RM 3,500.00 yang terkeluar dari Jadual Pertama tidaklah boleh mencabar majikan yang enggan memberikan hari kelepasan berbayar kepadanya.

Maka siapakah anda, seorang "pekerja" di bawah Akta Kerja 1955 atau seorang "pekerja" yang bukan di bawah Jadual Pertama menyebabkan anda tidak boleh mencabar majikan yang enggan membayar lebihmasa yang anda lakukan kerana anda tidak dilindungi Akta Kerja 1955.

Buatlah semakan status anda di tempat yang ada otoritas untuk berbuat demikian.

Thursday, October 13, 2022

SEMUA PEKERJA LAYAK DIBAYAR OT

Tanggungjawab kontraktual pekerja ialah hadir berkerja pada hari-hari yang ditetapkan majikan. Jika majikan minta berkerja pada waktu melebihi yang ditetap lebih awal maka pekerja layak diberi ganjaran tambahan selain gaji yang telah dipersetujui semasa mula-mula membentuk kontrak pekerjaan. Maknanya jika gaji ditawarkan sebulan RM 4,500.00 dengan waktu kerja 9.00 pagi hingga 5.00 petang, diminta siapkan kerja hingga perlu kekal di tempat kerja hingga jam 10.00 malam layaklah diberi ganjaran tambahan selain gaji RM 4,500.00 itu. 

Saya pun tak tahu di mana asalnya gaji lebih RM 2,000.00 tiada bayaran OT tu. (atau ada tulisan saya membuatkan tanggapan itu) 

Yang betul ialah gaji lebih RM 2,000.00 jika buat OT maka layak juga diberi ganjaran seperti bayaran OT tetapi kadarnya tidak tertakluk dengan Akta Kerja seperti one point five, double,  triple atau apa-apa sebutan lazim tu. 

Jadi berapa kadarnya? Jika majikan nak selamat, bayarlah kadar tak tetap. Bulan ni bayar RM 100.00, bulan depan bayar RM 200.00 berikutnya bayar RM 100.00 katalah duit minyak. Kenapa? nanti Penolong Pengurus tu tak bolehlah tuntut sebab ia bukan bayaran tetap tetapi tulislah dalam payslip duit minyak. 

Tak jamin pula tuntutan Penolong Pengurus tu akan gagal, tapi bolehlah buat modal bertekak di mahkamah.

Wednesday, March 2, 2022

BERHENTI 24 JAM DAPAT GAJI TAK?

Mendapat kerja baharu, tidak tahan dengan majikan, masalah keluarga, sambung belajar atau mendapat tawaran berkerja dengan kerajaan. Ini adalah alasan-alasan seorang pekerja untuk berhenti kerja. 

Pekerjaan atau kontrak perkhidmatan adalah suatu hubungan unik yang merupakan suatu hubungan melibatkan dua pihak iaitu pekerja dan majikan. Ia adalah suatu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan di mahkamah. Maknanya seorang majikan boleh mengupah peguam dan menyaman bekas pekerjanya di Mahkamah Majistret. 

Keunikan hubungan pekerja dan majikan ini menyebabkan suatu akta khusus diluluskan parlimen iaitu Akta Kerja 1955 [Akta 265]. Akta 265 memperuntukkan suatu tribunal pentadbiran berfungsi khusus yang lazimnya digelar Mahkamah Buruh. 

Selain mengupah peguam untuk menyaman pekerja di Mahkamah Majistret, bekas majikan boleh menyaman bekas pekerja untuk menuntut gaji ganti notis di bawah seksyen 69(2)(ii) atau 69C Akta 265. Tuntutan gaji ganti notis oleh majikan ini adalah satu-satunya tuntutan oleh majikan ke atas pekerja yang dibenarkan melalui Akta 265 ini, lain-lain tuntutan adalah oleh pekerja ke atas majikan. 

Tuntutan gaji ganti notis oleh majikan di Mahkamah Buruh hanya mempunyai dua pembelaan yang dikanun di bawah Akta 265. Bergantung kepada hujahan lain, pembelaan selain seksyen 13(2) atau seksyen 14(3) perlukan pembuktian lang lebih sedikit berbanding dua seksyen berkaitan. 

Pembelaan seksyen 14(3) Akta 265 berkaitan bahaya yang tidak menjadi tugasan asal pekerja semasa mula berkerja yang menjejaskan diri atau tanggungan. Pernah timbul pertanyaan bahawa ada majikan mengarahkan pekerjanya menjadi pengintip keluarga majikan pada waktu malam mengambil gambar dan rakaman yang jelas bukan tugasan biasa seorang kerani atau 'dispatch'. Keadaan ini melayakkan seksyen 14(3) Akta 265 digunakan untuk perletakan jawatan 24 jam jika pekerja itu mahu, namun jika pekerja itu tiada masalah dengan arahan itu aspeks perundangan tentang aktiviti pengintipan perlu dirujuk pula kepada pihak berkuasa. 

Pembelaan seksyen 13(2) pula berlegar dengan tindakan majikan yang melanggar syarat-syarat perkhidmatan. Perlanggaran paling mudah dibuktikan  ialah gaji lewat dibayar seperti gaji Feb 2022 dibayar pada pertengahan bulan Mac 2022.

Memberi notis untuk 24 jam, serta-merta atau memberi notis 1 bulan kemudian terus tidak datang memberi kesan serupa dengan perletakan jawatan tanpa notis dan berisiko disaman oleh bekas majikan.