Tuesday, April 30, 2019

PONTENG MELEBIHI 10% HARI BERKERJA.

Hanya untuk majikan yang menggunakan kaedah di bawah Akta Kerja 1955 dalam menguruskan kelayakan cuti tahunan iaitu sistem 24 bulan, 12 kumpul dan 12 ambil.

Tidak  boleh juga membulankan hitungan, perlu habiskan tempoh 12 bulan berterusan baru dihitung 10% hari berkerja itu.

Illustrasi :
V mula kerja 2/4/2018. Sepanjang 2/4/2018 hingga 1/4/2019 ada 312 hari berkerja. Mengambil kaedah pengiraan kelayakan cuti tahun di bawah akta, sepanjang 2/4/2018 hingga 1/4/2019 V hanya boleh bercuti tanpa gaji. Cuti tanpa gaji tidaklah menjadi isu kerana ada kebenaran majikan walaupun gaji dipotong, borang diisi dan 40 hari dia bercuti tanpa gaji.

V juga sepanjang tempoh 2/4/2018 hingga 1/4/2019 ponteng berselang-seli jumlahnya 35 hari.

Pada 26/4/2019 V pun memohon bercuti tahunan pada 29/4/2019, kerana sepanjang pengetahuannya, beliau ada 8 hari cuti tahunan yang dikumpulkan sepanjang tempoh 2/4/2018 hingga 1/4/2019 dan boleh diambil pada tempoh 2/4/2019 hingga 1/4/2020.

Majikan memulangkan borang permohonan cuti tahunan yang menyatakan kelulusan hanya untuk cuti tanpa gaji kerana tidak layak cuti tahunan akibat ponteng melebihi 10% sepanjang tempoh cuti tahunan dikumpul pada 2/4/2018 hingga 1/4/2019.

Hari berkerja 2/4/2018 hingga 1/4/2019 ialah 26 hari x 12 bulan (andaian untuk mudah hitung) 312 hari.

Maka 10% dari hari bekerja ialah 31 hari.

Jika pekerja ponteng 35 hari hanguslah kelayakan 8 hari cuti tahun yang dikumpul itu.

CUTI SAKIT GIGI BERKURANG KERANA SEBELUM INI DIWADKAN SELAMA 47 HARI.

Illustrasi :
Pada Januari 2019, Mr K seorang kerani bergaji RM 1,100.00 sebulan telah pengsan akibat terjatuh dari pokok rambutan dan koma selama 5 hari, selepas diwadkan selama 47 hari beliau kembali sihat untuk menjalani kehidupan harian.

Pada hujung Mac 2019 Mr K diserang demam campak dan bercuti sakit 5 hari. Selepas itu dia kerap demam panas dan pada awal April 2019 telah bercuti sakit kerana demam berjumlah 5 hari.

Akibat koma jatuh pokok, Mr K mengalami kerosakan gigi dan pada bulan Mei 2019 sahaja telah bercuti kerana sakit gigi selama 5 hari.

PENERANGAN

1. Cuti sakit biasa selepas diwadkan 47 hari berbaki 13 hari kerana walaupun asalnya 14 hari, 1 hari cuti sakit biasa telah dimakan oleh cuti hospitalisasi.

2. Cuti sakit hospitalisasi berbaki 13 hari juga kerana 60 hari cuti sakit hospitalisasi berbayar tolak 47 hari diwadkan ialah 13.

3. Selepas bercuti sakit 5 hari  kerana demam campak pada Mac 2019, cuti sakit hospitalisasi dan cuti sakit biasa masing-masing berbaki 8 hari. Ini kerana titik pertemuan antara dua jenis cuti sakit ini telah bertembung.(mesti penat fikir-telefon pejabat buroh di sebelah rumah untuk penjelasan)

4. Maka pada bulan April 2019, cuti sakit hospitalisasi dan biasa berbaki 3 hari sahaja setelah cuti demam 5 hari bulan itu.

5. Pada bulan Mei 2019, dengan baki 3 hari cuti sakit berbayar Mr K hanya layak dibayar 3 hari sahaja dari 5 hari cuti sakit yang dikeluarkan oleh seorang doktor gigi (Dental Surgeon) untuk rawatan giginya akibat terjatuh dari pohon.

6. Jika dalam tempoh Jun 2019 hingga Disember 2019, Mr K jatuh sakit lagi semua cuti sakit termasuk jika perlu diwadkan adalah cuti sakit tidak berbayar.

CUTI SAKIT HOSPITALISASI

Seorang pekerja terjadual layak 60 hari cuti sakit hospitalisasi setiap tahun kalendar, ini bermakna pada tahun 2018 ada 60 hari, pada 2019 ada 60 hari, pada tahun 2020 pun ada 60 hari malah jika pada tahun 2035 nanti (jika undang-undang tidak dipinda) pun cuti hospitalisasi adalah 60 hari. 60 hari ini adalah cuti berbayar. Ia tidaklah boleh dibawa kehadapan, maknanya jika pada tahun 2018 pekerja terjadual tidak bercuti sakit hospitalisasi maka pada tahun 2019 kelayakan masih kekal 60 hari dan bukan 60 + 60 menjadikannya 120 hari.

Jika berlaku keadaan, pekerja terjadual kemalangan semasa menaiki motosikal balik kampung menghadiri kenduri menyambut menantu pakcik sebelah ibunya dan mendapat cuti hospitalisasi selama 67 hari, maka hanya 60 hari sahaja perlu dibayar majikan, baki 7 hari adalah cuti sakit tanpa gaji.

Jika sebelum kemalangan itu, pekerja terjadual telah mengambil 1 hari cuti sakit perut, 2 hari sakit mata, 2 hari sakit gigi dan 1 hari demam. Maka baki cuti sakit hospitalisasi ialah 60 hari tolak (1+2+2+1) iaitu hanya ada 54 hari. Ini kerana kelayakan cuti hospitalisasi akan berkurangan jika cuti sakit bukan hospitalisasi diambil dalam tahun kalendar yang sama.

Undang-undang membenarkan, cuti sakit hospitalisasi dibayar walaupun pekerja terjadual tidak duduk di dalam hospital/ tidak diwadkan. Ini kerana peruntukan undang-undang menyatakan jika doktor kerajaan atau swasta sudi mengesahkan pekerja terjadual cukup sakit untuk diwadkan tetapi tidak diwadkan untuk apa-apa sebab termasuk tetapi tidak terhad kerana kurang sesuai dengan makanan yang disediakan pihak hospital bolehlah duduk di rumah sambil makan masakan bonda yang enak itu.

Itulah serba-sedikit berkaitan cuti sakit hospitalisasi.