Sunday, December 30, 2018

WAKTU KERJA (HAD-HAD JAM)

Secara umum had-had jam kerja diperuntukan di bawah seksyen 60A Akta Kerja 1955(Akta 265). Semasa mahu menetapkan operasi syarikat, salah satu pertimbangan adalah berkaitan waktu kerja yang tidak melanggar undang-undang.

8 jam sehari, 48 jam seminggu adalah had asas penetapan waktu kerja, tanpa melibatkan bayaran lebihmasa. Selain itu terdapat had tempoh masa (spread over period) 10 jam, berehat sekurang-kurangnya 30 selepas kerja 5 jam berterusan. Had 12 jam berkerja sehari. Semua ini perlu dipertimbangkan sebelum menetapkan tempoh operasi perniagaan. Bermula jam 8.00 pagi atau 9.00 pagi. Berakhir jam 5.00 petang atau 6.00 petang.

Hanya setelah meneliti had-had di bawah undang-undang barulah boleh menetapkan waktu operasi selari dengan waktu kerja yang dibenarkan undang-undang.

CUTI TAHUNAN : PRINSIP 12 BULAN MENGUMPULKAN CUTI TAHUNAN.

Bagi memudahkan pengiraan kelayakan, undang-undang telah menyatakan dengan jelas bahawa cuti tahunan dikumpul sepanjang 12 bulan dan pada 12 bulan berikutnya dinikmati. Tiada halangan untuk menggunakan cuti tahunan sekali gus atau secara berdikit.

Sebagai illustrasi jika seseorang pekerja mula berkerja pada 31.12.2017, semalam pada 30.12.2018 beliau telah melengkapkan satu tahun perkhidmatan. Kaedah pengiraan tempoh jika diambil berkerja pada pertengahan bulan adalah satu bulan ialah sehari sebelum tarikh sebelumnya. Ini bermakna jika mula berkerja 15.11.2018 genap sebulan ialah pada 14.12.2018. Jika 15.11.2018 hingga 15.12.2018 anda telah berkerja satu (1) bulan dan satu (1) hari. Maka 31.12.2017 hingga 30.12.2018 ialah satu (1) tahun.

Kembali kepada isu penggumpulan cuti tahunan, jika telah melengkapkan satu tahun untuk tempoh 31.12.2017 hingga 30.12.2018, maka mulai 31.12.2018 hingga 30.12.2019 cuti tahunan yang dikumpul bolehlah mula diambil tertakluk kepada kelulusan majikan.

Pekerja-pekerja di bawah Jadual Pertama Akta Kerja 1955 (Akta 265) mempunyai kadar minima cuti tahunan seperti berikut;
i. kurang 2 tahun perkhidmatan - 8 hari cuti tahunan
ii. 2 tahun hingga 5 tahun perkhidmatan - 12 hari cuti tahunan
iii. melebihi 5 tahun  perkhidmatan - 16 hari cuti tahunan

Sebagai contoh;

Seorang pekerja yang telah berkerja mulai 31.12.2017 dan sehingga 30.12.2018 telah melengkapkan 12 bulan perkhidmatan berterusan maka mulai 31.12.2018 boleh mengambil di mana-mana tarikh 8 hari cuti tahunan yang dikumpulkan. Tempoh cuti mesti dihabiskan ialah dari 31.12.2018 hingga 30.12.2018.

a. Tempoh mengumpulkan cuti tahunan - 31.12.2017 hingga 30.12.2018
b. Jumlah cuti tahunan dikumpulkan - 8 hari
c. Tempoh cuti tahunan perlu dihabiskan - 31.12..2018 hingga 30.12.2019

Maka bagi tempoh 31.12.2017 hingga 30.12.2018 itu, jika pekerja bercuti juga maka ia akan menjadi cuti tanpa gaji kerana belum melengkapkan 12 bulan perkhidmatan berterusan atau satu tahun perkhidmatan yang membolehkannya bercuti tahunan.

CUTI TAHUNAN SELEPAS DISAHKAN JAWATAN

Prinsip asal cuti tahunan ialah prinsip 24 bulan, iaitu kumpul pada 12 pertama dan diambil pada 12 bulan berikutnya, 12+12 = 24.

Namun ada majikan yang baik hati, kasihan pekerja perlu ambil cuti tanpa gaji untuk urusan peribadi. Maka timbullah formula selepas disahkan jawatan pekerja boleh mengambil cuti tahunan bersyarat dengan setiap bulan dihadkan 1 hari, 12 bulan - 3 bulan(tempoh percubaan) berbaki 9 bulan.

Setiap bulan lebih kurang ada 1.125 hari cuti tahunan ( 9 bulan dibahagi 8). Ada yang simpan 3 bulan bolehlah merayakan Aidilfitri, Krismas atau Divali lama sikit bersama keluarga.

Janganlah terlalu berprasangka dengan majikan, khuatir jika diikutkan asalnya 12 bulan pertama berkhidmat jika cuti potong gaji seperti peruntukan asal undang-undang.

Majikan dan pekerja bolehlah memilih kelaziman kini yang membenarkan pekerja mengambil cuti tahunan selepas pekerja disahkan jawatan setelah tiga bulan berkhidmat sebagai ganjaran kerana berjaya melengkapkan tempoh percubaan dan memperlihatkan kesungguhan kekal bersama majikan itu.



Thursday, December 6, 2018

HARI REHAT MINGGUAN (REST DAY)

Setiap pekerja terjadual berhak satu hari rehat dalam seminggu. Secara mudah dalam tempoh 7 hari berterusan perlu ada satu hari tidak berkerja yang diberikan oleh majikan. 

Pekerja bergaji hari juga layak diberi hari rehat ini. Majikan dihalang mengarahkan seorang pekerja bergaji hari berterusan kerja dari hari Isnin hingga Ahad. Jika mahukan pekerja bergaji hari berkerja berterusan 7 hari seminggu maka salah satu hari itu perlulah dibayar kadar berbeza dari kadar biasa. 

Sebagai illustrasi jika dibayar RM 50 sehari, dan seorang pekerja bergaji hari diminta kerja 7 hari berterusan Isnin hingga Ahad maka pembayarannya haruslah;

(RM 50 X 6 hari) + (RM 50 X 2 (Kadar) X 1 hari)

RM 300 + RM 100

RM 400.00

Hari rehat mingguan, 1 hari dalam seminggu adalah tanggungjawab majikan di bawah undang-undang dan tidak melibatkan isu pekerja perlu mencukupi kerja 6 hari seminggu. Terdapat pandangan bahawa seorang pekerja perlu memenuhi 6 atau 5 hari berkerja seminggu sebelum layak diberi hari rehat mingguan, pendapat ini kurang tepat.

Jika terdapat isu manipulasi pekerja berkaitan hari rehat mingguan, majikan masih boleh mengambil tindakan disiplin berbanding membazirkan masa membangkitkan isu-isu untuk melucutkan faedah statutori ini.

Seksyen 59 dan 60 Akta Kerja 1955 secara khusus menyebut hari rehat hanya tiada dalam tempoh cuti bersalin, cuti sakit, cuti di bawah Akta Pampasan Pekerja atau cuti PERKESO. Maka majikan tidak berhak membuat variasi ke atas kewajipan memberi satu hari rehat mingguan kepada pekerja terjadual.

Ini boleh juga dikaitkan dengan suatu keputusan mahkamah berkaitan pemberian cuti tahunan kepada seorang pekerja terjadual yang bercuti sakit berpanjangan. Mahkamah memutuskan seorang pekerja masih 'dalam perkhidmatan' dan layak dibayar baki cuti tahunan walaupun sedang bercuti sakit panjang selama setahun.

Alasan mahkamah berkaitan cuti tahunan itu kerana ia adalah hak di bawah suatu undang-undang yang digubal Parlimen. Jika ditamsilkan kepada hari rehat mingguan ia adalah perkara yang sama iaitu dijamin di bawah suatu akta parlimen.

Faedah statutori hanya boleh dilucutkan melalui peruntukan statutori sahaja seperti hari kelepasan yang lucut hak berbayar jika pekerja ponteng sehari sebelum atau sehari selepas. Menyebabkan selain potongan gaji kerana ponteng, bayaran cuti hari kelepasan juga boleh dilucutkan (tidak dibayar).

Bolehlah disimpulkan hari rehat mingguan wajib diberi kepada setiap pekerja terjadual termasuk pekerja bergaji hari.