Thursday, December 6, 2018

HARI REHAT MINGGUAN (REST DAY)

Setiap pekerja terjadual berhak satu hari rehat dalam seminggu. Secara mudah dalam tempoh 7 hari berterusan perlu ada satu hari tidak berkerja yang diberikan oleh majikan. 

Pekerja bergaji hari juga layak diberi hari rehat ini. Majikan dihalang mengarahkan seorang pekerja bergaji hari berterusan kerja dari hari Isnin hingga Ahad. Jika mahukan pekerja bergaji hari berkerja berterusan 7 hari seminggu maka salah satu hari itu perlulah dibayar kadar berbeza dari kadar biasa. 

Sebagai illustrasi jika dibayar RM 50 sehari, dan seorang pekerja bergaji hari diminta kerja 7 hari berterusan Isnin hingga Ahad maka pembayarannya haruslah;

(RM 50 X 6 hari) + (RM 50 X 2 (Kadar) X 1 hari)

RM 300 + RM 100

RM 400.00

Hari rehat mingguan, 1 hari dalam seminggu adalah tanggungjawab majikan di bawah undang-undang dan tidak melibatkan isu pekerja perlu mencukupi kerja 6 hari seminggu. Terdapat pandangan bahawa seorang pekerja perlu memenuhi 6 atau 5 hari berkerja seminggu sebelum layak diberi hari rehat mingguan, pendapat ini kurang tepat.

Jika terdapat isu manipulasi pekerja berkaitan hari rehat mingguan, majikan masih boleh mengambil tindakan disiplin berbanding membazirkan masa membangkitkan isu-isu untuk melucutkan faedah statutori ini.

Seksyen 59 dan 60 Akta Kerja 1955 secara khusus menyebut hari rehat hanya tiada dalam tempoh cuti bersalin, cuti sakit, cuti di bawah Akta Pampasan Pekerja atau cuti PERKESO. Maka majikan tidak berhak membuat variasi ke atas kewajipan memberi satu hari rehat mingguan kepada pekerja terjadual.

Ini boleh juga dikaitkan dengan suatu keputusan mahkamah berkaitan pemberian cuti tahunan kepada seorang pekerja terjadual yang bercuti sakit berpanjangan. Mahkamah memutuskan seorang pekerja masih 'dalam perkhidmatan' dan layak dibayar baki cuti tahunan walaupun sedang bercuti sakit panjang selama setahun.

Alasan mahkamah berkaitan cuti tahunan itu kerana ia adalah hak di bawah suatu undang-undang yang digubal Parlimen. Jika ditamsilkan kepada hari rehat mingguan ia adalah perkara yang sama iaitu dijamin di bawah suatu akta parlimen.

Faedah statutori hanya boleh dilucutkan melalui peruntukan statutori sahaja seperti hari kelepasan yang lucut hak berbayar jika pekerja ponteng sehari sebelum atau sehari selepas. Menyebabkan selain potongan gaji kerana ponteng, bayaran cuti hari kelepasan juga boleh dilucutkan (tidak dibayar).

Bolehlah disimpulkan hari rehat mingguan wajib diberi kepada setiap pekerja terjadual termasuk pekerja bergaji hari.

No comments:

Post a Comment