Wednesday, March 2, 2022

BERHENTI 24 JAM DAPAT GAJI TAK?

Mendapat kerja baharu, tidak tahan dengan majikan, masalah keluarga, sambung belajar atau mendapat tawaran berkerja dengan kerajaan. Ini adalah alasan-alasan seorang pekerja untuk berhenti kerja. 

Pekerjaan atau kontrak perkhidmatan adalah suatu hubungan unik yang merupakan suatu hubungan melibatkan dua pihak iaitu pekerja dan majikan. Ia adalah suatu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan di mahkamah. Maknanya seorang majikan boleh mengupah peguam dan menyaman bekas pekerjanya di Mahkamah Majistret. 

Keunikan hubungan pekerja dan majikan ini menyebabkan suatu akta khusus diluluskan parlimen iaitu Akta Kerja 1955 [Akta 265]. Akta 265 memperuntukkan suatu tribunal pentadbiran berfungsi khusus yang lazimnya digelar Mahkamah Buruh. 

Selain mengupah peguam untuk menyaman pekerja di Mahkamah Majistret, bekas majikan boleh menyaman bekas pekerja untuk menuntut gaji ganti notis di bawah seksyen 69(2)(ii) atau 69C Akta 265. Tuntutan gaji ganti notis oleh majikan ini adalah satu-satunya tuntutan oleh majikan ke atas pekerja yang dibenarkan melalui Akta 265 ini, lain-lain tuntutan adalah oleh pekerja ke atas majikan. 

Tuntutan gaji ganti notis oleh majikan di Mahkamah Buruh hanya mempunyai dua pembelaan yang dikanun di bawah Akta 265. Bergantung kepada hujahan lain, pembelaan selain seksyen 13(2) atau seksyen 14(3) perlukan pembuktian lang lebih sedikit berbanding dua seksyen berkaitan. 

Pembelaan seksyen 14(3) Akta 265 berkaitan bahaya yang tidak menjadi tugasan asal pekerja semasa mula berkerja yang menjejaskan diri atau tanggungan. Pernah timbul pertanyaan bahawa ada majikan mengarahkan pekerjanya menjadi pengintip keluarga majikan pada waktu malam mengambil gambar dan rakaman yang jelas bukan tugasan biasa seorang kerani atau 'dispatch'. Keadaan ini melayakkan seksyen 14(3) Akta 265 digunakan untuk perletakan jawatan 24 jam jika pekerja itu mahu, namun jika pekerja itu tiada masalah dengan arahan itu aspeks perundangan tentang aktiviti pengintipan perlu dirujuk pula kepada pihak berkuasa. 

Pembelaan seksyen 13(2) pula berlegar dengan tindakan majikan yang melanggar syarat-syarat perkhidmatan. Perlanggaran paling mudah dibuktikan  ialah gaji lewat dibayar seperti gaji Feb 2022 dibayar pada pertengahan bulan Mac 2022.

Memberi notis untuk 24 jam, serta-merta atau memberi notis 1 bulan kemudian terus tidak datang memberi kesan serupa dengan perletakan jawatan tanpa notis dan berisiko disaman oleh bekas majikan.