Monday, February 14, 2011

Mahkamah Buruh (Pengadu)

Secara umum pengadu dalam mahkamah buruh ialah pekerja yang tidak mendapat bayaran tertentu dari bekas majikan. Pengadu biasanya menuntut gaji yang tidak dibayar, bayaran OT, komisyen, elaun-elaun dari bekas majikan.

Sekiranya pekerja masih berkhidmat, pendekatan lain akan dicadangkan Jabatan Tenaga Kerja untuk mencapai penyelesaian terbaik tanpa pekerja kehilangan pekerjaan dan majikan mematuhi undang-undang. Ia juga tidak melibatkan keperluan merekodkan kes buruh seterusnya menghadiri perbicaraan di Mahkamah Buruh, kerana pekerja dan majikan akan berada dalam keadaan janggal sekiranya majikan masih menggajikan pekerja yang mengheret majikan ke Mahkamah Buruh.

Majikan sebagai Pengadu
Undang-undang buruh membenarkan majikan menuntut gantirugi dari pekerja yang berhenti tanpa mematuhi notis yang dipersetujui secara bertulis dalam surat lantikan.
Jumlah ganti rugi atau secara umum disebut gaji ganti notis adalah berkadaran jumlah gaji akan diterima bekas pekerja jika tempoh notis dilengkapkan.
Gaji ganti notis ialah satu-satu tuntutan majikan ke atas pekerja yang boleh diputuskan oleh Mahkamah Buruh.

Sunday, February 13, 2011

Mahkamah Buruh (2)

Komposisi

Mahkamah buruh mengandungi
1. Pegawai pendengar
2. Pengadu
3. Defendan

Pegawai pendengar ialah pegawai dari Jabatan Tenaga Kerja yang akan mendengar fakta-fakta yang dibentangkan oleh pihak-pihak berserta dokumen-dokumen sokongan. Setelah selesai pihak-pihak membentangkan kesnya, satu keputusan akan dikeluarkan seperti perintah bayar atau buang.

Pengadu boleh jadi pekerja atau majikan, bagi majikan hanya gaji ganti notis boleh dituntut. Pekerja pula akan menuntut gaji dan lain-lain faedah kewangan yang gagal dibayar oleh majikan walaupun sudah termaktub dalam syarat-syarat perkhidmatan.

Defendan ialah pihak yang diadukan, perlu membela kenapa pengadu tidak wajar dibayar berdasarkan alasan undang-undang.

Thursday, February 10, 2011

Mahkamah Buruh (bahagian 1)

Sebelum memasuki Jabatan Buruh, aku tidak tahu apa itu Mahkamah Buruh. Mungkin yang paling hampir ialah subjek Prinsip-prinsip Pentadbiran Awam oleh Peter Johnson bila dia memperkenalkan kewujudan tribunal pentadbiran yang berfungsi separa-juadiasi.

Apabila menyertai Jabatan Buruh tahun 2000 aku diperkenalkan secara rasmi kewujudan 'Makamah Buruh'. Semasa itu ada juga debat antara ahli-ahli jabatan sendiri Makamah Buruh sebenarnya tidak wujud, sebaliknya ia hanyalah ungkapan sahaja. Masa itu aku pun masih berkobar-kobar menyertai debat ini dan mempunyai pendapat sendiri... yang bila difikirkan kembali tidak memberi manfaat pun... kini...