Wednesday, May 18, 2016

Tuntutan elaun bersalin di Pejabat Buroh

Pindaan Akta Kerja 1955 pada tahun 2012 telah memberikan perlindungan bersalin kepada semua pekerja wanita tanpa mengira upah. Ini bermakna tanpa dijanjikan atau dijadikan syarat perkhidmatan, cuti bersalin enam puluh (60) hari wajib diberi dan setelah memenuhi syarat-syarat tertentu akan layak dibayar elaun bersalin.

Secara asas jika pekerja wanita, tidak dibayar elaun bersalin, maka dia boleh memfailkan tuntutan di mahkamah sivil.

Akta Kerja 1955, yang menjadi otoriti berkaitan pemberian elaun bersalin kepada pekerja-pekerja wanita tanpa mengira gaji juga mempunyai peruntukan berkaitan arahan membayar kepada pihak-pihak yang dimungkiri/ dinafikan hak elaun bersalin. Setelah melalui proses pengaduan, dengan kuasa di bawah akta, pejabat buroh akan membicarakan tuntutan dan memutuskan pengadu layak dibayar atau sebaliknya.

Pindaan 2012, menyatakan pemakaian bahagian elaun bersalin kepada pekerja wanita tanpa mengira gaji. Sesetengah pengamal sumber manusia dan saya sebenarnya, menganggap pindaan 2012 hanya menyebabkan bahagian perlindungan dinikmati perlindungannya oleh semua pekerja wanita. Bahagian-bahagian lain termasuk kuasa pejabat buroh mengarahkan pembayaran setelah pengaduan dibuat di bawah seksyen 69 pula masih mengekalkan "status quo" dan mengekalkan had gaji atau jenis kerja untuk melayakkan mana-mana pekerja wanita yang di bawah Jadual Pertama Akta Kerja 1955  sahaja membuat tuntutan.

Namun isu yang agak rumit, ialah berkaitan pekerja di bawah seksyen 69B. Akta Kerja 1955 dengan niat memberikan perlindungan kepada pekerja di bawah Jadual Pertama, telah dipinda untuk pekerja bergaji melebihi jadual hingga RM 5,000.00 boleh memfailkan tuntutan di bawah seksyen 69B.

Seksyen 69B memanjangkan pemakaian seksyen 69 (1)(a) berkaitan tuntutan syarat-syarat perkhidmatan, dan jika peruntukan ini sahaja di bawah Akta Kerja 1955 maka tiada isu, cuma Akta Kerja 1955 juga telah memberi kuasa khusus di bawah seksyen 69 (1)(b) bagi tuntutan berkaitan "peruntukan" di bawah akta yang tidak dinyatakan dalam surat lantikan atau ketiadaan sebarang kontrak perkhidmatan bertulis.

Mengambil kira keluasan konsep kontrak perkhidmatan, di hampir setiap kanun yang diluluskan parlimen Malaysia, ia adalah dalam bentuk lisan atau bertulis, nyata atau tersirat maka dari sudut pemakaian seksyen 44A tiadalah masalah cuma janggal untuk mendakwa tanpa otoriti dalam bentuk suatu kontrak perkhidmatan bertulis, sukar untuk pejabat buroh menjalankan kuasa di bawah seksyen 69B, kerana ia dalam bentuk " peruntukan" akta berbanding syarat-syarat perkhidmatan seperti kehendak seksyen 69(1)(a).

No comments:

Post a Comment