Monday, December 2, 2019

CUTI SAKIT HOSPITALISASI

Seorang pekerja terjadual layak 60 hari cuti sakit hospitalisasi setiap tahun kalendar, ini bermakna pada tahun 2018 ada 60 hari, pada 2019 ada 60 hari, pada tahun 2020 pun ada 60 hari malah jika pada tahun 2035 nanti (jika undang-undang tidak dipinda) pun cuti hospitalisasi adalah 60 hari. 60 hari ini adalah cuti berbayar. Ia tidaklah boleh dibawa kehadapan, maknanya jika pada tahun 2018 pekerja terjadual tidak bercuti sakit hospitalisasi maka pada tahun 2019 kelayakan masih kekal 60 hari dan bukan 60 + 60 menjadikannya 120 hari.

Jika berlaku keadaan, pekerja terjadual kemalangan semasa menaiki motosikal balik kampung menghadiri kenduri menyambut menantu pakcik sebelah ibunya dan mendapat cuti hospitalisasi selama 67 hari, maka hanya 60 hari sahaja perlu dibayar majikan, baki 7 hari adalah cuti sakit tanpa gaji.

Jika sebelum kemalangan itu, pekerja terjadual telah mengambil 1 hari cuti sakit perut, 2 hari sakit mata, 2 hari sakit gigi dan 1 hari demam. Maka baki cuti sakit hospitalisasi ialah 60 hari tolak (1+2+2+1) iaitu hanya ada 54 hari. Ini kerana kelayakan cuti hospitalisasi akan berkurangan jika cuti sakit bukan hospitalisasi diambil dalam tahun kalendar yang sama.

Undang-undang membenarkan, cuti sakit hospitalisasi dibayar walaupun pekerja terjadual tidak duduk di dalam hospital/ tidak diwadkan. Ini kerana peruntukan undang-undang menyatakan jika doktor kerajaan atau swasta sudi mengesahkan pekerja terjadual cukup sakit untuk diwadkan tetapi tidak diwadkan untuk apa-apa sebab termasuk tetapi tidak terhad kerana kurang sesuai dengan makanan yang disediakan pihak hospital bolehlah duduk di rumah sambil makan masakan bonda yang enak itu. 

Itulah serba-sedikit berkaitan cuti sakit hospitalisasi.

No comments:

Post a Comment