Showing posts with label contract of service. Show all posts
Showing posts with label contract of service. Show all posts

Thursday, January 7, 2016

Majikan dan Pekerja 1

Hubungan majikan dan pekerja wujud apabila seseorang tiba-tiba berniat menjadi majikan dan kemudian mencari seseorang yang bersetuju menjadi pekerjanya. Tertakluk kepada sekatan-sekatan undang-undang niat pihak-pihak adalah perkara utama dalam mewujudkan hubungan ini. Malaysia secara undang-undang bertulis mengiktiraf hubungan ini boleh wujud secara lisan atau bertulis, nyata atau tersirat.
Illustrasi : A berjumpa dengan B dan menawarkan akan membayar B, RM 900.00 sebulan dengan syarat A akan menetapkan;
1. di mana kerja perlu dilakukan (tempat pekerjaan),
2. bila kerja dilakukan (waktu kerja dan hari berkerja) dan
3. apa yang perlu dilakukan (jawatan dan deskripsi tugas)
maka secara asas telah wujud satu hubungan majikan pekerja, secara klasiknya dinamakan tuan dan abdi (master and servant)

Pekerja sebenarnya telah menyerahkan sebahagian kebebasan diri apabila bersetuju menerima tawaran majikan. Hubungan klasik tuan dan abdi ini kemudian berkembang dan untuk mengelakkan konotasi negatif  pemakaian istilah tuan dan abdi serta mengambilkira hubungan dibawah undang-undang maka terma kontrak perkhidmatan (contract of service) digunakan. Sesetengah pihak menggunakan terma kontrak pekerjaan (employment contract).

Sunday, December 6, 2015

Ke mana mengadu : Pekerja yang dipecat.

Seorang pekerja yang dipecat secara asasnya mempunyai tiga (3) saluran pengaduan, bergantung kepada hasrat dan tertakluk kepada setiap pemecatan yang mempunyai alasan pelbagai. Jika majikan memecat secara bersurat/ bertulis tindakan lebih mudah diambil, namun pemecatan lisan juga masih boleh diadukan mengambilkira setiap perundangan berkaitan hubungan majikan pekerja mengiktiraf syarat-syarat perkhidmatan bertulis atau lisan, nyata atau tersirat.

Apa itu pemecatan?

Pemecatan ialah penamatan kerja seorang pekerja oleh majikan, sering dikaitkan dengan isu-isu disiplin. Perhubungan perusahaan atau pentadbiran sumber manusia menggunakan pendekatan isu-isu salahlaku berbanding disiplin untuk meluaskan pemakaian terma pemecatan untuk mewajarkan tindakan pemecatan.
Ke mana mahu mengadu?
Pekerja yang dipecat boleh membuat pengaduan ke tempat-tempat berikut jika dipecat;

1.Pejabat Buroh

Jika anda meminati filem-filem seniman agong P. Ramlee, ada satu babak S. Shamsudin ke Pejabat Buroh. Selain itu filem-filem P. Ramlee juga ada menggambarkan cuti-cuti seperti ‘public holiday’ dan ‘half day’. Cuma kini Pejabat Buroh sudah tiada tetapi sudah diubah nama kepada Pejabat Tenaga Kerja. Menguatkuasakan Akta Kerja 1955 (Akta 265) seseorang pekerja yang dipecat boleh mengadu di pejabat ini untuk tuntutan bayaran-bayaran tunai yang belum terbayar.
Selain itu sebagai tuntutan tambahan gaji ganti notis dan faedah penamatan dan baki cuti tahunan yang tidka habis diambil juga boleh dituntut.
Cuma terdapat halangan dari segi had gaji, kerana Pejabat Buroh hanya melindungi pekerja-pekerja yang berada di dalam Jadual Pertama iaitu mereka yang bergaji dua ribu ringgit (RM 2,000.00) dan  sekiranya gaji melebihi had perlu menilai mereka terlibat dalam ‘labour of brain’(kerja dengan penaakulan) atau ‘labour of energy with majority of physical extortions’ (kerja kasar/ berat/ manual)

2. Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Pekerja yang dipecat dan mempunyai niat berkerja semula mempunyai satu kaedah yang dibenarkan undang-undang untuk dipulihkan ke jawatan asalnya tanpa perlu ke mahkamah sivil. Malaysia mempunyai satu undang-undang yang boleh memaksakan majikan menerima kembali pekerja yang telah dipecat melalui seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177)
Had masa enam puluh 60 hari dari tarikh pemecatan wujud bagi pengaduan ini, maknanya pengaduan tidak boleh difailkan pada hari keenam puluh satu selepas dipecat.
Sekiranya tidak sesuai dipulihkan ke jawatan asal, Mahkamah Perusahaan ada memerintahkan pembayaran pampasan menggantikan pemulihan jawatan.

3. Mahkamah Sivil

Hubungan majikan-pekerja atau kontrak perkhidmatan adalah suatu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan undang-undang. Pekerja yang dipecat boleh mendapatkan khidmat guaman untuk menyaman bekas majikan. Berdasarkan hubungan majikan-pekerja, jangkaan tempoh perkhidmatan hingga umur bersara minima enam puluh tahun, bonus-bonus, kenaikan gaji tahunan antara tuntutan kewangan yang boleh diambilkira disamping gantirugi lain.
Bagi pekerja yang tidak dilindungi Akta Kerja 1955 dan tidak mahu dipulihkan jawatan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan dana yang besar untuk mengambil peguam bolehlah memikirkan kaedah ini;

Kesimpulan

Jika anda dipecat, sila pergi ke pejabat buroh berhampiran dahulu dan dapatkan nasihat berdasarkan merit kes, pilihan pengaduan di Pejabat Buroh, Jabatan Perhubungan Perusahaan atau tuntutan sivil adalah hak anda.

Saturday, September 26, 2015

Ciri-ciri kontrak perkhidmatan/ pekerjaan.

Dua perkara asas dalam kontrak perkhidmatan ialah;
1. Gaji/ Upah
2. Kehadiran/ Hari berkerja.
Jika ada pihak yang mendakwa orang yang dibayar untuk melaksanakan tugas tertentu dibayar wang maka kemungkinan besar dia adalah seorang 'pekerja' jika dia perlu mematuhi hari-hari hadir yang telah ditetapkan. Ini merujuk kepada Akta Kerja 1955 yang mengiktiraf upah dan kehadiran sebagai punca suatu kontrak perkhidmatan boleh pecah (breach)

Selanjutnya soalan juga perlu ditanya kepada 'pekerja' itu. Adakah di mana-mana peringkat pihak satu lagi ('yang mendakwa bukan majikan') menerangkan dengan jelas dia tiada niat mengambil seorang 'pekerja' sebaliknya seorang kontraktor bebas, freelance, agen, lain-lain hubungan yang tidak berkaitan dengan hubungan 'master and servant' ini juga merujuk kepada tafsiran di bawah Akta Kerja 1955 yang mengkehendaki persetujuan pihak-pihak mengakui peranan masing-masing sebagai seorang majikan dan pekerja.

Suatu kontrak adalah perjanjian yang boleh dikuatkuasakan. Badan, agensi atau otoriti yang bakal menguatkuasakan kandungan perjanjian itu juga boleh menjadi petunjuk ia adalah hubungan majikan-pekerja atau lain-lain bentuk hubungan. Jika 'majikan' gagal namakan ke mana kes akan difailkan jika berlaku kemungkiran kontrak maka kemungkinan besar ia adalah kontrak perkhidmatan.

Kewujudan suatu kontrak bertulis yang dimeterai dengan setem hasil juga satu indikasi bentuk hubungan yang cuba dibentuk pihak-pihak. Malah perjanjian melibatkan satu syarikat dengan seorang individu, berbanding satu enterprise, perkongsian, satu syarikat sdn bhd lain juga cenderong mewujudkan suatu kontrak perkhidmatan atau hubungan majikan-pekerja. Adalah lucu sekiranya seorang pengusaha atau usahawan mengambil risiko perniagaan untuk mengikat perjanjian dengan seorang individu selain hubungan majikan-pekerja.

Ujian-ujian tertentu boleh dilaksanakan untuk mengenalpasti kewujudan hubungan majikan-pekerja. Namun jika tapisan asas berhubungan gaji/ upah dan hari-hari bekerja telah diperolehi maka hampir pasti wujud hubungan itu.