Showing posts with label Kesatuan Sekerja. Show all posts
Showing posts with label Kesatuan Sekerja. Show all posts

Wednesday, November 20, 2019

KESATUAN SEKERJA

Satu akta mengenai kesatuan sekerja, satu lagi akta mengenai hubungan majikan dan kesatuan sekerja yang mewakili pekerja. Pemisahan fungsi wujud dan untuk mengetahui jabatan mana yang perlu dirujuk jika berdepan isu-isu kesatuan sekerja. Sebagai permulaan perlu melihat jiwa kesatuan sekerja itu sendiri dahulu. Riwayat hidup yang bermula dengan penubuhan dan berakhir dengan pembubaran. 

Apakah itu kesatuan sekerja? Entiti legal yang merupa seorang manusia atau lebih tepat seperti sebuah syarikat yang boleh di saman dan boleh menyaman. Juga bisa didakwa atas namanya sendiri. Lebih istimewa ada kekebalan undang-undang jika melibatkan urusan pertikaian perusahaan (trade dispute) terbukti dengan kes terkini berkaitan pemimpin kesatuan industri penerbangan.

Sebuah kesatuan didaftarkan setelah ditubuh, penubuhan kesatuan sekerja perlu dibuktikan dengan mesyuarat penubuhan yang didokumenkan dalam bentuk minit mesyuarat. Permohonan pendaftaran pula perlu disertakan borang khas di bawah Akta Kesatuan Sekerja. 

Selain minit mesyuarat penubuhan perlu juga disertakan buku peraturan kesatuan yang merupakan undang-undang tubuh kesatuan yang perlu dibahas dan diluluskan semasa mesyuarat penubuhan. Menyediakan undang-undang tubuh kesatuan memerlukan masa yang panjang dan penyediaannya mungkin melibatkan perjumpaan yang panjang dan kerap hingga terhasilnya buku perlembagaan kesatuan yang bakal ditubuhkan itu. Kelak semasa mesyuarat penubuhan hanya perlu diendorse sahaja dan sedikit perbahasan diperlukan.

Salah satu keperluan permohonan pendaftaran ialah pembuktian anggota-anggota atau sekurang-kurangnya pegawai penaja yang 7 orang itu adalah 'orang-orang kerja' atau 'workman' yang ada majikan. Surat lantikan dan penyata gaji adalah dokumen paling mudah untuk membuktikan pemohon-pemohon ada memasuki kontrak perkhidmatan yang melayakkan permohonan pendaftaran kesatuan sekerja itu.

Borang B di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959, Buku Perlembagaan (Buku Peraturan/ Undang-undang tubuh kesatuan), minit mesyuarat penubuhan dan bukti penggajian pegawai-pegawai penaja disertakan Borang Precipe dan setem hasil RM 30.00 maka permohonan pendaftaran kesatuan sekerja untuk mendapatkan perakuan pendaftaran (Borang D) sudah boleh dipanjangkan atau diangkat ke pejabat wilayah/ negeri Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) berhampiran.

Setelah memperolehi perakuan pendaftaran, langkah berikutnya ialah supaya diiktiraf sebagai wakil pekerja di sesebuah perusahaan. Ini adalah proses yang dikendalikan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP). Setelah diiktiraf oleh majikan maka akan ada rundingan kolektif yang akan dimuktamadkan sebagai suatu perjanjian kolektif atau CA.

Kesatuan sekerja diuruskan oleh badan eksekutif yang biasanya dipanggil Majlis Jawatankuasa Kerja (MJK) dipilih dikalangan anggota-anggota melalui undi sulit (secret ballot). Perubahan pegawai-pegawai kesatuan yang menganggotai badan eksekutif ini didaftarkan dan direkodkan oleh JHEKS.

Ada ketikanya kesatuan tidak lagi berniat meneruskan perjuangan maka pembubaran akan dilaksanakan dengan mengadakan mesyuarat pembubaran yang bertujuan meluluskan resolusi/ usul membubarkan kesatuan, mengagihkan wang kesatuan dan lain-lain urusan berkaitan. Permohonan untuk mendaftar pembubaran dan permohonan membatalkan perakuan pendaftaran dipanjangkan kepada JHEKS supaya secara rasmi kesatuan itu sudah tamat riwayatnya.

Itulah serba sedikit mengenai kesatuan sekerja dan riwayat hidupnya kesatuan sekerja dari penubuhan hinggalah pembubarannya.

Monday, March 11, 2019

MENUBUHKAN KESATUAN SEKERJA

Ada majikan melanggar undang-undang kerana tidak sedar wujudnya peruntukan sedemikian. Lebih ramai yang mengambil mudah dan sengaja enggan ambil pusing kerana pematuhan undang-undang membabitkan kos. Sebagai contoh kadar bayaran lebih masa atau berkerja pada hari raya aidilfitri.

Menjadi tanggungjawab Jabatan Tenaga Kerja untuk memastikan undang-undang buruh dipatuhi majikan di antaranya melalui aktiviti siasatan aduan, pemeriksaan terkanun dan aktiviti-aktiviti promosi. Jumlah majikan yang besar ditambah ketidakseimbangan nisbah inspektorat buruh kepada jumlah majikan, akan ada majikan yang terlepas dari pandangan pihak berkuasa. Taburan majikan yang tidak sekata di antara wilayah-wilayah juga merumitkan pemantauan.

Keadaan ini menyebabkan pihak berkuasa memerlukan mata dan telinga di kalangan pekerja yang bertindak sebagai penyalur maklumat. Tanggungjawab ini bukan kecil dan mengundang risiko yang besar kerana pekerja seolah-olah bertindak sebagai 'perisik' mengumpul bukti (biasanya dalam bentuk aduan dan bukan membekalkan dokumentasi) sebelum siasatan rasmi dijalankan untuk membina kes ke atas majikan yang melanggar undang-undang.

Sebagai duri dalam daging, api dalam sekam, gunting dalam lipatan pada tanggapan majikan jika diketahui maka nasib buruk akan menimpa. Hukuman paling berat yang bakal dikenakan majikan tentu sahaja pemecatan.

Tidaklah dinafikan ada majikan yang akan mematuhi teguran yang dibuat pihak berkuasa namun keegoan sebagai majikan kadangkala melebihi segalanya. Majikan akan memburu pekerja yang disyaki menjadi talibarut pihak luar. Lebih malang jika majikan serkap jarang dan pekerja yang disyaki itu bukanlah petualang sebenar. Hanya kerana pekerja vokal dalam menyuarakan isu-isu pekerjaan, maka pekerja itulah yang disyaki majikan.

Maka jalan selamat ialah menubuhkan kesatuan sekerja dalaman atau menjemput kesatuan sekerja peringkat kebangsaan mewakili pekerja di syarikat itu. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Sebelum menubuh kesatuan, penuhkan ilmu di dada. Pergilah berjumpa kesatuan sedia ada mendapat nasihat dari 'bro'-'bro'. Kemudian lawati juga Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), JPPM dan mana-mana pihak yang boleh memberikan petunjuk dan ilmu. Kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga.

Kepada wira-wira tidak didendang yang gugur (dipecat dengan sebab dan alasan munasabah) semasa memperjuangkan hak sendiri dan rakan sekerja walaupun anda baru dan rakan sekerja lebih lama. Malah orang lama sudah beri amaran, mereka lebih makan garam dan jangan bersalahan dengan majikan kerana kelak muntah darah. Saya mengucapkan selamat berjuang dan kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.

Thursday, January 18, 2018

Kesatuan Sekerja

Saya telah memohon bertukar jabatan, atas saranan bekas ketua pejabat yang memaklumkan ada kekosongan di Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS).

Skim Perkhidmatan Pegawai Perhubungan Perusahaan, adalah skim tertutup. Jika dibandingkan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pertukaran jabatan adalah adalah terhad kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Jabatan Perhubungan Perusahaan, Jabatan Hel Ehwal Kesatuan Sekerja atau Mahkamah Perusahaan dan juga ke Kementerian Sumber Manusia(KSM) sendiri.

Pada bulan(Januari) inilah tahun lalu (2017) saya telah menerima surat pertukaran ke JHEKS setelah permohonan pertukaran kali pertama tidak dapat dipertimbangkan oleh KSM.

Hampir setahun di JHEKS, saya mendapati JHEKS mempunyai persamaan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Jika diperhalusi Kesatuan Sekerja adalah suatu pertubuhan juga, namun dengan sejarah yang panjang terutamanya penyusupan anasir-anasir kurang sihat sebelum kemerdekaan. Pemantauan khusus perlu diberi kepada kesatuan sekerja, maka secara asasnya JHEKS terlibat dalam pendaftaran, perjalanan urusan harian termasuk pemilihan pegawai, kewangan dan lain-lain urusan yang tidak dipantau fungsi oleh Mahkamah Perusahaan dan Jabatan Perhubungan Perusahaan seperti pengiktirafan, pertikaian perusahaan atau secara ringkasnya hubungan kesatuan dan majikan. Akhirnya JHEKS juga terlibat membatalkan pendaftaran kesatuan yang 'defunct' atau mempertimbangkan permohonan membatalkan pendaftaran jika kesatuan membubarkan diri secara sukarela.

Kesatuan Sekerja adalah suatu 'legal entity' yang boleh disaman dan menyaman, pendaftaran kesatuan sekerja berbeza dengan penubuhannya. Hanya kesatuan yang berdaftar di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 sahaja menikmati perlindungan dan hak-hak tertentu di negara ini.

Silalah ke pejabat JHEKS berhampiran unuk maklumat lanjut.