Monday, March 11, 2019

MENUBUHKAN KESATUAN SEKERJA

Ada majikan melanggar undang-undang kerana tidak sedar wujudnya peruntukan sedemikian. Lebih ramai yang mengambil mudah dan sengaja enggan ambil pusing kerana pematuhan undang-undang membabitkan kos. Sebagai contoh kadar bayaran lebih masa atau berkerja pada hari raya aidilfitri.

Menjadi tanggungjawab Jabatan Tenaga Kerja untuk memastikan undang-undang buruh dipatuhi majikan di antaranya melalui aktiviti siasatan aduan, pemeriksaan terkanun dan aktiviti-aktiviti promosi. Jumlah majikan yang besar ditambah ketidakseimbangan nisbah inspektorat buruh kepada jumlah majikan, akan ada majikan yang terlepas dari pandangan pihak berkuasa. Taburan majikan yang tidak sekata di antara wilayah-wilayah juga merumitkan pemantauan.

Keadaan ini menyebabkan pihak berkuasa memerlukan mata dan telinga di kalangan pekerja yang bertindak sebagai penyalur maklumat. Tanggungjawab ini bukan kecil dan mengundang risiko yang besar kerana pekerja seolah-olah bertindak sebagai 'perisik' mengumpul bukti (biasanya dalam bentuk aduan dan bukan membekalkan dokumentasi) sebelum siasatan rasmi dijalankan untuk membina kes ke atas majikan yang melanggar undang-undang.

Sebagai duri dalam daging, api dalam sekam, gunting dalam lipatan pada tanggapan majikan jika diketahui maka nasib buruk akan menimpa. Hukuman paling berat yang bakal dikenakan majikan tentu sahaja pemecatan.

Tidaklah dinafikan ada majikan yang akan mematuhi teguran yang dibuat pihak berkuasa namun keegoan sebagai majikan kadangkala melebihi segalanya. Majikan akan memburu pekerja yang disyaki menjadi talibarut pihak luar. Lebih malang jika majikan serkap jarang dan pekerja yang disyaki itu bukanlah petualang sebenar. Hanya kerana pekerja vokal dalam menyuarakan isu-isu pekerjaan, maka pekerja itulah yang disyaki majikan.

Maka jalan selamat ialah menubuhkan kesatuan sekerja dalaman atau menjemput kesatuan sekerja peringkat kebangsaan mewakili pekerja di syarikat itu. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Sebelum menubuh kesatuan, penuhkan ilmu di dada. Pergilah berjumpa kesatuan sedia ada mendapat nasihat dari 'bro'-'bro'. Kemudian lawati juga Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), JPPM dan mana-mana pihak yang boleh memberikan petunjuk dan ilmu. Kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga.

Kepada wira-wira tidak didendang yang gugur (dipecat dengan sebab dan alasan munasabah) semasa memperjuangkan hak sendiri dan rakan sekerja walaupun anda baru dan rakan sekerja lebih lama. Malah orang lama sudah beri amaran, mereka lebih makan garam dan jangan bersalahan dengan majikan kerana kelak muntah darah. Saya mengucapkan selamat berjuang dan kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.

No comments:

Post a Comment