Sunday, March 10, 2019

Elaun Kehadiran dipotong kerana cuti sakit berlebihan.

Prinsip asas pekerjaan ialah majikan akan menetapkan hari-hari berkerja dan pekerja wajib hadir pada hari-hari itu dan melaksanakan tugasan yang diarahkan, kerana itu majikan akan memberi ganjaran dan dalam dunia moden dalam bentuk gaji dan bukan gaji.

Itulah janji sumpah taat setia antara majikan dan pekerja. Tiada isu sakit atau penat kemudian tidak boleh hadir pada hari-hari yang ditetapkan. Tidak datang bermakna durhaka di zaman dahulu dan akan muntah darah. Zaman sekarang ia dipanggil masalah disiplin atau perundangan yang lebih keras sebagai pecah kontrak kerana pekerja gagal melaksanakan tanggungjawab kontraktual (contractual obligations)

Pekerja terjadual mudah sedikit membela diri kerana ketidakhadiran harus melebihi dua hari berkerja berturut-turut, tidak cuba beritahu dan tiada alasan munasabah barulah dikatakan perlanggaran sengaja (wilful breach). Selain adanya cuti kelepasan am, hari rehat mingguan, cuti sakit, cuti tahunan dan cuti bersalin.

Memandangkan negara ada undang-undang maka akan ada perlindungan minima yang digubal parlimen, untuk sakit dalam bentuk cuti sakit berbayar. Jika majikan prihatin tanpa perlu undang-undang parlimen diberi juga cuti sakit berbayar. Tak datang kerja tetapi tetap dibayar.

Bagi menggalakkan kehadiran ini, kadangkala ada majikan wujudkan elaun kedatangan yang tujuannya menggalakkan kehadiran. Syarat pula majikan yang tetapkan seperti tidak boleh cuti sakit, tidak mengambil cuti tahunan melebihi 1 hari dalam sebulan dan pelbagai syarat berkaitan kehadiran ke tempat kerja.

Tiada akta yang mewajibkan atau menghalang majikan membayar atau memotong elaun kedatangan jika pemotongan elaun kehadiran bersabit isu kehadiran sama ada cuti kerana campak atau cacar yang bukan dipinta atau cuti tahunan yang memang dirancang selagi ia ada kaitan isu-isu kehadiran.

No comments:

Post a Comment