Wednesday, November 20, 2019

KESATUAN SEKERJA

Satu akta mengenai kesatuan sekerja, satu lagi akta mengenai hubungan majikan dan kesatuan sekerja yang mewakili pekerja. Pemisahan fungsi wujud dan untuk mengetahui jabatan mana yang perlu dirujuk jika berdepan isu-isu kesatuan sekerja. Sebagai permulaan perlu melihat jiwa kesatuan sekerja itu sendiri dahulu. Riwayat hidup yang bermula dengan penubuhan dan berakhir dengan pembubaran. 

Apakah itu kesatuan sekerja? Entiti legal yang merupa seorang manusia atau lebih tepat seperti sebuah syarikat yang boleh di saman dan boleh menyaman. Juga bisa didakwa atas namanya sendiri. Lebih istimewa ada kekebalan undang-undang jika melibatkan urusan pertikaian perusahaan (trade dispute) terbukti dengan kes terkini berkaitan pemimpin kesatuan industri penerbangan.

Sebuah kesatuan didaftarkan setelah ditubuh, penubuhan kesatuan sekerja perlu dibuktikan dengan mesyuarat penubuhan yang didokumenkan dalam bentuk minit mesyuarat. Permohonan pendaftaran pula perlu disertakan borang khas di bawah Akta Kesatuan Sekerja. 

Selain minit mesyuarat penubuhan perlu juga disertakan buku peraturan kesatuan yang merupakan undang-undang tubuh kesatuan yang perlu dibahas dan diluluskan semasa mesyuarat penubuhan. Menyediakan undang-undang tubuh kesatuan memerlukan masa yang panjang dan penyediaannya mungkin melibatkan perjumpaan yang panjang dan kerap hingga terhasilnya buku perlembagaan kesatuan yang bakal ditubuhkan itu. Kelak semasa mesyuarat penubuhan hanya perlu diendorse sahaja dan sedikit perbahasan diperlukan.

Salah satu keperluan permohonan pendaftaran ialah pembuktian anggota-anggota atau sekurang-kurangnya pegawai penaja yang 7 orang itu adalah 'orang-orang kerja' atau 'workman' yang ada majikan. Surat lantikan dan penyata gaji adalah dokumen paling mudah untuk membuktikan pemohon-pemohon ada memasuki kontrak perkhidmatan yang melayakkan permohonan pendaftaran kesatuan sekerja itu.

Borang B di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959, Buku Perlembagaan (Buku Peraturan/ Undang-undang tubuh kesatuan), minit mesyuarat penubuhan dan bukti penggajian pegawai-pegawai penaja disertakan Borang Precipe dan setem hasil RM 30.00 maka permohonan pendaftaran kesatuan sekerja untuk mendapatkan perakuan pendaftaran (Borang D) sudah boleh dipanjangkan atau diangkat ke pejabat wilayah/ negeri Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) berhampiran.

Setelah memperolehi perakuan pendaftaran, langkah berikutnya ialah supaya diiktiraf sebagai wakil pekerja di sesebuah perusahaan. Ini adalah proses yang dikendalikan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP). Setelah diiktiraf oleh majikan maka akan ada rundingan kolektif yang akan dimuktamadkan sebagai suatu perjanjian kolektif atau CA.

Kesatuan sekerja diuruskan oleh badan eksekutif yang biasanya dipanggil Majlis Jawatankuasa Kerja (MJK) dipilih dikalangan anggota-anggota melalui undi sulit (secret ballot). Perubahan pegawai-pegawai kesatuan yang menganggotai badan eksekutif ini didaftarkan dan direkodkan oleh JHEKS.

Ada ketikanya kesatuan tidak lagi berniat meneruskan perjuangan maka pembubaran akan dilaksanakan dengan mengadakan mesyuarat pembubaran yang bertujuan meluluskan resolusi/ usul membubarkan kesatuan, mengagihkan wang kesatuan dan lain-lain urusan berkaitan. Permohonan untuk mendaftar pembubaran dan permohonan membatalkan perakuan pendaftaran dipanjangkan kepada JHEKS supaya secara rasmi kesatuan itu sudah tamat riwayatnya.

Itulah serba sedikit mengenai kesatuan sekerja dan riwayat hidupnya kesatuan sekerja dari penubuhan hinggalah pembubarannya.

No comments:

Post a Comment