Kita sering terfikir adakah menyiapkan tugasan atau kerja merupakan syarat gaji dibayar. Peruntukan undang-undang yang digubal parlimen seperti Akta Kerja 1955 juga tidak memudahkan perkara ini apabila menafsirkan gaji adalah untuk kerja dilakukan atau "work done".
Akibat pandangan gaji kerana tugas yang siap ini, salah satu pembelaan bekas majikan semasa perbicaraan kes buruh adalah kerja tak siap, tidak buat serah tugas atau "handover" yang tidak sempurna.
Jika teori, pekerja digajikan untuk mengambilalih fungsi majikan yang kurang penting agar majikan boleh melaksanakan fungsi lebih penting , persoalan kerja tak siap atau serahtugas tidak menjadi isu. Pemecatan atau pemberhentian pekerja hanyalah proses memulangkan fungsi yang pada asalnya adalah tanggungjawab majikan.
Pembayaran gaji sebagai balasan dalam kontrak perkhidmatan adalah ganjaran penyerahan sementara kebebasan diri oleh pekerja untuk dikawal pergerakan dalam tempoh tertentu (hari-hari dan waktu kerja) bukan kerana siapnya suatu tugas. Malah isu kerja siap pula adalah kawalan majikan yang menentukan apa dan bagaimana suatu tugasan perlu dilaksanakan.
Bekas pekerja hanya perlu membuktikan sepanjang tempoh tuntutan gaji dia berada dalam kawalan majikan (at the disposal of the employer to receive his instructions as he sees fit at his whim and fancy), maka jika pekerja ponteng tidaklah layak ke atas gaji yang dituntut.
Persoalan kerja dengan sengaja enggan disiapkan tidak timbul, jika pekerja berhenti sendiri maka ia hanyalah memulangkan kembali fungsi asal majikan. Pekerja yang sedang berkhidmat pula boleh ditangani melalui proses disiplin.
Kaunseling, surat amaran dan lain-lain kaedah pengurusan sumber manusia dalam menangani isu kerja tidak siap ini pula akan membantu majikan mewajarkan penamatan penyerahan sementara atau pemulangan fungsi kurang penting majikan kepada pekerja.
Jika fungsi majikan yang diserah kepada pekerja dikembalikan kepada majikan, pertambahan fungsi yang dilaksanakan majikan akan berlaku berbanding semasa ada pekerja. Bebanan mungkin tidak tertanggung. Ini akan menyebabkan majikan berfikir panjang sebelum memecat seorang pekerja.
Kesimpulannya gaji adalah ganjaran penyerahan kebebasan diri seorang pekerja berbanding bayaran untuk menyiapkan kerja.
Sunday, June 19, 2016
Majikan dan pekerja : suatu pendekatan fungsional.
Wednesday, May 18, 2016
Tuntutan elaun bersalin di Pejabat Buroh
Secara asas jika pekerja wanita, tidak dibayar elaun bersalin, maka dia boleh memfailkan tuntutan di mahkamah sivil.
Akta Kerja 1955, yang menjadi otoriti berkaitan pemberian elaun bersalin kepada pekerja-pekerja wanita tanpa mengira gaji juga mempunyai peruntukan berkaitan arahan membayar kepada pihak-pihak yang dimungkiri/ dinafikan hak elaun bersalin. Setelah melalui proses pengaduan, dengan kuasa di bawah akta, pejabat buroh akan membicarakan tuntutan dan memutuskan pengadu layak dibayar atau sebaliknya.
Pindaan 2012, menyatakan pemakaian bahagian elaun bersalin kepada pekerja wanita tanpa mengira gaji. Sesetengah pengamal sumber manusia dan saya sebenarnya, menganggap pindaan 2012 hanya menyebabkan bahagian perlindungan dinikmati perlindungannya oleh semua pekerja wanita. Bahagian-bahagian lain termasuk kuasa pejabat buroh mengarahkan pembayaran setelah pengaduan dibuat di bawah seksyen 69 pula masih mengekalkan "status quo" dan mengekalkan had gaji atau jenis kerja untuk melayakkan mana-mana pekerja wanita yang di bawah Jadual Pertama Akta Kerja 1955 sahaja membuat tuntutan.
Namun isu yang agak rumit, ialah berkaitan pekerja di bawah seksyen 69B. Akta Kerja 1955 dengan niat memberikan perlindungan kepada pekerja di bawah Jadual Pertama, telah dipinda untuk pekerja bergaji melebihi jadual hingga RM 5,000.00 boleh memfailkan tuntutan di bawah seksyen 69B.
Seksyen 69B memanjangkan pemakaian seksyen 69 (1)(a) berkaitan tuntutan syarat-syarat perkhidmatan, dan jika peruntukan ini sahaja di bawah Akta Kerja 1955 maka tiada isu, cuma Akta Kerja 1955 juga telah memberi kuasa khusus di bawah seksyen 69 (1)(b) bagi tuntutan berkaitan "peruntukan" di bawah akta yang tidak dinyatakan dalam surat lantikan atau ketiadaan sebarang kontrak perkhidmatan bertulis.
Mengambil kira keluasan konsep kontrak perkhidmatan, di hampir setiap kanun yang diluluskan parlimen Malaysia, ia adalah dalam bentuk lisan atau bertulis, nyata atau tersirat maka dari sudut pemakaian seksyen 44A tiadalah masalah cuma janggal untuk mendakwa tanpa otoriti dalam bentuk suatu kontrak perkhidmatan bertulis, sukar untuk pejabat buroh menjalankan kuasa di bawah seksyen 69B, kerana ia dalam bentuk " peruntukan" akta berbanding syarat-syarat perkhidmatan seperti kehendak seksyen 69(1)(a).
Monday, May 9, 2016
Pemandu dan Jadual Pertama Akta Kerja 1955
Sunday, January 24, 2016
Menyerahkan Kebebasan
Apabila anda memutuskan menjadi seorang pekerja, anda telah secara tidak sedar menyerahkan sebahagian kebebasan diri kepada orang lain. Pergerakan, masa dan apa yang akan dilakukan dibataskan dan dikawal orang lain (majikan)
Monday, January 11, 2016
Majikan dan pekerja 2 (tidak adil)
Rungutan majikan sering kedengaran, undang-undang menyebelahi pekerja, pejabat buroh menyebelahi pekerja. Tiada apa yang majikan boleh buat. Kenyataan ini adalah separuh benar, jika dilihat semasa pembentukan awal hubungan pekerja, tertakluk kepada sekatan undang-undang;
1. gaji,
2. tempat pekerjaan,
3. waktu dan hari berkerja,
4. pakaian (uniform)
dan senarainya tidak terhad adalah diputuskan oleh majikan. Hanya setelah bersetuju menjalin hubungan majikan-pekerja, hak-hak yang dilindungi undang-undang akan terbit. Hubungan yang dibina dari awal lagi adalah berat sebelah dan memihak kepada majikan. Adalah tidak menghairankan jika wujud usaha untuk mengimbangi perkara ini, di Malaysia khususnya akta-akta digubal untuk tujuan ini seperti Akta Kerja, Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Akta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Thursday, January 7, 2016
Majikan dan Pekerja 1
Illustrasi : A berjumpa dengan B dan menawarkan akan membayar B, RM 900.00 sebulan dengan syarat A akan menetapkan;
1. di mana kerja perlu dilakukan (tempat pekerjaan),
2. bila kerja dilakukan (waktu kerja dan hari berkerja) dan
3. apa yang perlu dilakukan (jawatan dan deskripsi tugas)
maka secara asas telah wujud satu hubungan majikan pekerja, secara klasiknya dinamakan tuan dan abdi (master and servant)
Pekerja sebenarnya telah menyerahkan sebahagian kebebasan diri apabila bersetuju menerima tawaran majikan. Hubungan klasik tuan dan abdi ini kemudian berkembang dan untuk mengelakkan konotasi negatif pemakaian istilah tuan dan abdi serta mengambilkira hubungan dibawah undang-undang maka terma kontrak perkhidmatan (contract of service) digunakan. Sesetengah pihak menggunakan terma kontrak pekerjaan (employment contract).