Pekerja bergaji bulan
dijanjikan dibayar sejumlah bayaran untuk satu bulan. Persoalan
timbul jika tarikh mula kerja bukan 1 haribulan, contohnya 15
haribulan. Adakah majikan wajib membayar gaji penuh satu bulan kerana
sudah menjanjikan akan membayar satu jumlah untuk gaji satu bulan
atau boleh membayar satu jumlah lain. Isu jumlah bayaran juga akan
timbul sekiranya pekerja bercuti tanpa gaji atau ponteng.
Gaji pekerja
dilindungi oleh peruntukan seksyen 24 Akta Kerja 1955 (Akta 265),
maka sebarang 'potongan' gaji perlu diperhalusi, sama ada melibatkan
seksyen 24 atau tidak.
Berdasarkan peruntukan
undang-undang di bawah seksyen 15(1) Akta Kerja 1955 'gaji' adalah
komponen penting dalam suatu kontrak perkhidmatan. Sangat penting
jika tidak dibayar, pada hari ketujuh selepas tempoh penggajian
terdahulu akan dianggap suatu 'pecah kontrak perkhidmatan' di pihak
majikan.
Menangani isu cuti
tanpa gaji dan ponteng, majikan sebagai salah satu pihak dalam
kontrak perkhidmatan telah menetapkan tanggungjawab/ obligasi pekerja
untuk mematuhi hari-hari berkerja. Tertakluk kepada had-had di bawah
undang-undang seperti jumlah maksima waktu kerja normal, cuti-cuti,
pekerja perlu mematuhi atau hadir untuk berkerja. Kehadiran berkerja
juga komponen penting dalam suatu kontrak perkhidmatan kerana
ketidakhadiran dua hari berturut-turut tanpa kebenaran awal, tanpa
memberitahu atau cuba memberitahu dan tanpa alasan munasabah akan
dianggap 'pecah kontrak perkhidmatan' di pihak pekerja.
Maka apabila pekerja
ponteng atau memohon cuti tanpa gaji, majikan berhak secara asas
membuat variasi ke atas jumlah bayaran gaji yang dipersetujui dengan
tanggapan pekerja tidak mematuhi sebahagian tanggungjawab/ obligasi
kontrak perkhidmatannya untuk hadir berkerja pada hari-hari berkerja
yang telah ditetapkan majikan.
Terdapat tiga kaedah
yang diamalkan, menggunakan pembolehubah 26, jumlah hari pada bulan
berkaitan atau jumlah hari-hari berkerja pada bulan berkaitan.
1. Membahagi dengan
26
Seksyen 60I Akta Kerja
1955, menafsirkan upah satu hari untuk waktu normal bagi pekerja
bergaji bulan ialah membahagikan gaji dengan 26. Mana-mana majikan
yang menggunakan formula ini untuk mengira satu hari cuti tanpa gaji
atau satu hari ponteng tidaklah melakukan kesalahan.
2. Membahagi dengan
jumlah hari pada bulan berkaitan (28,29,30 atau 31)
Selaras dengan tafsiran
bergaji bulan, bulan yang dirujuk adalah bulan Gregorian meliputi
Januari hingga Disember. Maka tanggapan setiap hari dibayar gaji
digunakan, membahagikan dengan 28,29,30 atau 31 bergantung kepada
bulan berkaitan akan mendapatkan gaji sehari cuti tanpa gaji atau
ponteng.
3. Membahagi dengan
jumlah hari-hari berkerja
Kurang diamalkan, namun
masih ada majikan membuat tanggapan, walaupun dipersetujui dalam
kontrak bertulis gaji bergaji bulan, pekerja hanya dibayar pada
hari-hari berkerja dan membahagi jumlah hari berkerja pada bulan
berkaitan akan mendapatkan gaji sehari cuti tanpa gaji atau ponteng.
Ketiga-tiga kaedah
pengiraan jika sudah diamalkan sekian lama oleh majikan, tiada
perubahan perlu dilakukan. Secara umum kaedah kedua iaitu membahagi
dengan jumlah hari pada bulan berkaitan (28,29,30 atau 31) adalah
kaedah yang disyorkan oleh pengamal undang-undang buruh.
Kini
terdapat pandangan lebih keras, tiada potongan gaji boleh dilakukan
kerana bertentangan dengan seksyen 24 Akta Kerja 1955, bagi isu
ponteng perlu ditangani melaui seksyen 14 Akta kerja 1955. Cuti tanpa
gaji pula tertakluk kepada seksyan 24, Akta Kerja 1955 dan adalah
suatu potongan tidak sah.
Saya
secara peribadi menganggap ketidakpatuhan atau ketidakupayaan pekerja
untuk hadir berkerja yang merupakan komponen penting kontrak
perkhidmatan, memberikan hak majikan membuat variasi ke atas jumlah
gaji yang perlu dibayar pada bulan-bual adanya cuti tanpa gaji atau
ponteng. Tertakluk kepada sekatan-sekatan dan alasan-alasan munasabah
satu kaedah pengiraan perlu digunakan. Majikan tidaklah pula sesuka
hati mengurangkan bayaran gaji bulanan tanpa mengikut tiga kaedah di
atas yang sudah menjadi amalan industri di Malaysia.
Pendekatan
sama boleh digunakan untuk kiraan gaji pekerja yang tidak memulakan
tugas pada 1 haribulan atau berhenti bukan pada hari terakhir bulan
berkaitan.