Monday, January 11, 2016

Majikan dan pekerja 2 (tidak adil)

Rungutan majikan sering kedengaran, undang-undang menyebelahi pekerja, pejabat buroh menyebelahi pekerja. Tiada apa yang majikan boleh buat. Kenyataan ini adalah separuh benar, jika dilihat semasa pembentukan awal hubungan pekerja, tertakluk kepada sekatan undang-undang;
1. gaji,
2. tempat pekerjaan,
3. waktu dan hari berkerja,
4. pakaian (uniform)
dan senarainya tidak terhad adalah diputuskan oleh majikan. Hanya setelah bersetuju menjalin hubungan majikan-pekerja, hak-hak yang dilindungi undang-undang akan terbit. Hubungan yang dibina dari awal lagi adalah berat sebelah dan memihak kepada majikan. Adalah tidak menghairankan jika wujud usaha untuk mengimbangi perkara ini, di Malaysia khususnya akta-akta digubal untuk tujuan ini seperti Akta Kerja, Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Akta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Thursday, January 7, 2016

Majikan dan Pekerja 1

Hubungan majikan dan pekerja wujud apabila seseorang tiba-tiba berniat menjadi majikan dan kemudian mencari seseorang yang bersetuju menjadi pekerjanya. Tertakluk kepada sekatan-sekatan undang-undang niat pihak-pihak adalah perkara utama dalam mewujudkan hubungan ini. Malaysia secara undang-undang bertulis mengiktiraf hubungan ini boleh wujud secara lisan atau bertulis, nyata atau tersirat.
Illustrasi : A berjumpa dengan B dan menawarkan akan membayar B, RM 900.00 sebulan dengan syarat A akan menetapkan;
1. di mana kerja perlu dilakukan (tempat pekerjaan),
2. bila kerja dilakukan (waktu kerja dan hari berkerja) dan
3. apa yang perlu dilakukan (jawatan dan deskripsi tugas)
maka secara asas telah wujud satu hubungan majikan pekerja, secara klasiknya dinamakan tuan dan abdi (master and servant)

Pekerja sebenarnya telah menyerahkan sebahagian kebebasan diri apabila bersetuju menerima tawaran majikan. Hubungan klasik tuan dan abdi ini kemudian berkembang dan untuk mengelakkan konotasi negatif  pemakaian istilah tuan dan abdi serta mengambilkira hubungan dibawah undang-undang maka terma kontrak perkhidmatan (contract of service) digunakan. Sesetengah pihak menggunakan terma kontrak pekerjaan (employment contract).

Sunday, December 6, 2015

Ke mana mengadu : Pekerja yang dipecat.

Seorang pekerja yang dipecat secara asasnya mempunyai tiga (3) saluran pengaduan, bergantung kepada hasrat dan tertakluk kepada setiap pemecatan yang mempunyai alasan pelbagai. Jika majikan memecat secara bersurat/ bertulis tindakan lebih mudah diambil, namun pemecatan lisan juga masih boleh diadukan mengambilkira setiap perundangan berkaitan hubungan majikan pekerja mengiktiraf syarat-syarat perkhidmatan bertulis atau lisan, nyata atau tersirat.

Apa itu pemecatan?

Pemecatan ialah penamatan kerja seorang pekerja oleh majikan, sering dikaitkan dengan isu-isu disiplin. Perhubungan perusahaan atau pentadbiran sumber manusia menggunakan pendekatan isu-isu salahlaku berbanding disiplin untuk meluaskan pemakaian terma pemecatan untuk mewajarkan tindakan pemecatan.
Ke mana mahu mengadu?
Pekerja yang dipecat boleh membuat pengaduan ke tempat-tempat berikut jika dipecat;

1.Pejabat Buroh

Jika anda meminati filem-filem seniman agong P. Ramlee, ada satu babak S. Shamsudin ke Pejabat Buroh. Selain itu filem-filem P. Ramlee juga ada menggambarkan cuti-cuti seperti ‘public holiday’ dan ‘half day’. Cuma kini Pejabat Buroh sudah tiada tetapi sudah diubah nama kepada Pejabat Tenaga Kerja. Menguatkuasakan Akta Kerja 1955 (Akta 265) seseorang pekerja yang dipecat boleh mengadu di pejabat ini untuk tuntutan bayaran-bayaran tunai yang belum terbayar.
Selain itu sebagai tuntutan tambahan gaji ganti notis dan faedah penamatan dan baki cuti tahunan yang tidka habis diambil juga boleh dituntut.
Cuma terdapat halangan dari segi had gaji, kerana Pejabat Buroh hanya melindungi pekerja-pekerja yang berada di dalam Jadual Pertama iaitu mereka yang bergaji dua ribu ringgit (RM 2,000.00) dan  sekiranya gaji melebihi had perlu menilai mereka terlibat dalam ‘labour of brain’(kerja dengan penaakulan) atau ‘labour of energy with majority of physical extortions’ (kerja kasar/ berat/ manual)

2. Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Pekerja yang dipecat dan mempunyai niat berkerja semula mempunyai satu kaedah yang dibenarkan undang-undang untuk dipulihkan ke jawatan asalnya tanpa perlu ke mahkamah sivil. Malaysia mempunyai satu undang-undang yang boleh memaksakan majikan menerima kembali pekerja yang telah dipecat melalui seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177)
Had masa enam puluh 60 hari dari tarikh pemecatan wujud bagi pengaduan ini, maknanya pengaduan tidak boleh difailkan pada hari keenam puluh satu selepas dipecat.
Sekiranya tidak sesuai dipulihkan ke jawatan asal, Mahkamah Perusahaan ada memerintahkan pembayaran pampasan menggantikan pemulihan jawatan.

3. Mahkamah Sivil

Hubungan majikan-pekerja atau kontrak perkhidmatan adalah suatu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan undang-undang. Pekerja yang dipecat boleh mendapatkan khidmat guaman untuk menyaman bekas majikan. Berdasarkan hubungan majikan-pekerja, jangkaan tempoh perkhidmatan hingga umur bersara minima enam puluh tahun, bonus-bonus, kenaikan gaji tahunan antara tuntutan kewangan yang boleh diambilkira disamping gantirugi lain.
Bagi pekerja yang tidak dilindungi Akta Kerja 1955 dan tidak mahu dipulihkan jawatan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan dana yang besar untuk mengambil peguam bolehlah memikirkan kaedah ini;

Kesimpulan

Jika anda dipecat, sila pergi ke pejabat buroh berhampiran dahulu dan dapatkan nasihat berdasarkan merit kes, pilihan pengaduan di Pejabat Buroh, Jabatan Perhubungan Perusahaan atau tuntutan sivil adalah hak anda.

Friday, November 13, 2015

Pemandu Peribadi adalah Kakitangan Domestik.

Terlindung di bawah label "pemandu" terdapat segolongan pekerja yang mempunyai perlindungan terhad di bawah Akta Kerja 1955. Pemandu Peribadi jika mematuhi syarat-syarat di bawah tafsiran "kakitangan domestik" akan menyebabkan mereka mempunyai perlindungan terhad.

Syarat-syarat berikut;
1. tugasannya berkaitan kediaman peribadi,
2. tiada kaitan dengan perniagaan majikan,
3. kenderaan yang dipandu dilesenkan untuk kegunaan peribadi,
jika dipatuhi maka pemandu peribadi ini adalah "kakitangan domestik" di bawah seksyen 2 Akta Kerja 1955.

Kesan dari tafsiran ini adalah besar kerana faedah minima untuk seorang kakitangan domestik tidak meliputi waktu berkerja, cuti sakit, hari kelepasan am, cuti tahunan dan beberapa faedah yang dinikmati pekerja di bawah Jadual Pertama Akta Kerja 1955.
Tempoh notis penamatan minima pula hanya dua minggu berbanding pekerja terjadual  lain iaitu empat minggu.

Walaubagaimanapun jika mereka diberi surat lantikan, memasukkan syarat-syarat perkhidmatan seperti cuti-cuti berkaitan termasuk bayaran lebihmasa maka majikan perlu mematuhinya dan tidak boleh pula menggunakan Jadual Pertama mengecualikan pemakaian syarat-syarat perkhidmatan berkenaan ke atas golongan ini.

Berbeza dengan pemandu yang mengendalikan kenderaan digerakkan mekanikal untuk tujuan pengangkutan penumpang atau barang atau ganjaran atau tujuan komersil, yang mendapat perlindungan penuh di bawah Jadual Pertama seperti pemandu lori, pemandu limo, pemandu bas, pemandu peribadi secara eksklusif hanya memandu untuk satu individu atau pun ahli keluarga dan mana-mana orang lain atas arahan tanpa melibatkan unsur-unsur ganjaran atau komersil dan mendapat bayaran kerana perkhidmatan pemanduan yang diberi.

Mungkin perkara utama yang dinilaikan ialah tiada perkaitan secara langsung atau jelas antara tugasan pemanduan seorang pemandu peribadi dengan perniagaan majikannya menyebabkan kategori pemandu ini perlu diasingkan dari tafsiran pemandu syarikat.

Seterusnya kenderaan yang pandu yang dilesenkan untuk kegunaan peribadi berbanding komersil juga perlu diambilkira, malah "penumpang" bagi maksud Jadual Pertama pengendali jentera digerakkan mekanikal tidak merujuk orang yang dibawa oleh seorang pemandu peribadi.

Adalah disimpulkan, jika berhadapan dengan seorang pemandu peribadi, maka perlu menyiasat dengan teliti, jika diputuskan dia adalah pengendali (pemandu) jentera digerakkan mekanikal faedahnya lebih luas berbanding memutuskan pemandu itu seorang kakitangan domestik.

Saturday, September 26, 2015

Ciri-ciri kontrak perkhidmatan/ pekerjaan.

Dua perkara asas dalam kontrak perkhidmatan ialah;
1. Gaji/ Upah
2. Kehadiran/ Hari berkerja.
Jika ada pihak yang mendakwa orang yang dibayar untuk melaksanakan tugas tertentu dibayar wang maka kemungkinan besar dia adalah seorang 'pekerja' jika dia perlu mematuhi hari-hari hadir yang telah ditetapkan. Ini merujuk kepada Akta Kerja 1955 yang mengiktiraf upah dan kehadiran sebagai punca suatu kontrak perkhidmatan boleh pecah (breach)

Selanjutnya soalan juga perlu ditanya kepada 'pekerja' itu. Adakah di mana-mana peringkat pihak satu lagi ('yang mendakwa bukan majikan') menerangkan dengan jelas dia tiada niat mengambil seorang 'pekerja' sebaliknya seorang kontraktor bebas, freelance, agen, lain-lain hubungan yang tidak berkaitan dengan hubungan 'master and servant' ini juga merujuk kepada tafsiran di bawah Akta Kerja 1955 yang mengkehendaki persetujuan pihak-pihak mengakui peranan masing-masing sebagai seorang majikan dan pekerja.

Suatu kontrak adalah perjanjian yang boleh dikuatkuasakan. Badan, agensi atau otoriti yang bakal menguatkuasakan kandungan perjanjian itu juga boleh menjadi petunjuk ia adalah hubungan majikan-pekerja atau lain-lain bentuk hubungan. Jika 'majikan' gagal namakan ke mana kes akan difailkan jika berlaku kemungkiran kontrak maka kemungkinan besar ia adalah kontrak perkhidmatan.

Kewujudan suatu kontrak bertulis yang dimeterai dengan setem hasil juga satu indikasi bentuk hubungan yang cuba dibentuk pihak-pihak. Malah perjanjian melibatkan satu syarikat dengan seorang individu, berbanding satu enterprise, perkongsian, satu syarikat sdn bhd lain juga cenderong mewujudkan suatu kontrak perkhidmatan atau hubungan majikan-pekerja. Adalah lucu sekiranya seorang pengusaha atau usahawan mengambil risiko perniagaan untuk mengikat perjanjian dengan seorang individu selain hubungan majikan-pekerja.

Ujian-ujian tertentu boleh dilaksanakan untuk mengenalpasti kewujudan hubungan majikan-pekerja. Namun jika tapisan asas berhubungan gaji/ upah dan hari-hari bekerja telah diperolehi maka hampir pasti wujud hubungan itu.

Thursday, August 27, 2015

Dua majikan membayar elaun bersalin.

Hanya berlaku apabila syarat;

1. Sembilan puluh (90) hari berkerja dengan majikan berkaitan dalam tempoh sembilan (9) bulan kehamilan.

2. Empat (4) bulan sebelum bersalin masih berkerja dengan majikan berkaitan.

dipatuhi untuk kedua-dua majikan.

Syarat tambahan, notis memaklumkan akan bersalin di bawah Akta Kerja 1955  hendaklah dipatuhi...


Tuesday, August 18, 2015

Komisen : Upah atau bukan

Komisen : Upah atau bukan
Seksyen 2 Akta Kerja 1955 (Akta 265) menafsirkan upah terdiri dari dua komponen iaitu
  1. upah pokok
  2. semua pembayaran lain dengan wang tunai.
Seterusnya bagi menilai sesuatau pembayaran tunai itu adalah upah atau tidak, syarat perlu dipatuhi, syarat utama ialah dibayar kepada seorang pekerja bagi kerja yang dibuat mengenai kontrak perkhidmatannya.
Komisen hanya disebut sekali di bawah Akta Kerja iaitu di bawah tafsiran 'upah' Jadual Pertama. Merujuk kepada seksyen 2, tiada tafsiran komisyen di berikan maka dari segi otoriti pengunaan tafsiran Kamus Dewan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bolehlah digunakan.
Jika tafsiran DBP digunakan bagi Akta Kerja , komisen (ejaan rasmi Dewan Bahasa Dan Pustaka) ia merujuk kepada, sejumlah (peratusan) bayaran (tunai) yang dibayar kepada pekerja kerana perkhidmatannya, juga merujuk wang upah yang dibayarkan kepada pekerja kerana menjual barang-barang. Komisen adalah terjemahan langsung dari perkataan Inggeris 'commission', bahasa Malaysia komisen ialah 'dalal'. Bagi maksud pemfailan kes buruh penggunaan 'komisen' adalah lebih sesuai kerana DBP juga mengiktiraf ialah boleh digunakan menggantikan perkataan 'dalal'. Berbanding 'dalal', komisen digunakan secara meluas dalam perhubungan perusahaan di Malaysia untuk merujuk kepada sejumlah (peratusan) bayaran (tunai) yang dibayar kepada pekerja kerana perkhidmatannya, juga merujuk wang upah yang dibayarkan kepada pekerja kerana menjual barang-barang.

Komisen dan Jadual Pertama
Perkara 3 Jadual pertama menyatakan;
"...3. Bagi tujuan Jadual ini "upah" ertinya upah sepertimana yang ditakrifkan dalam seksyen 2, tetapi tidak meliputi mana-mana bayaran secara komisen, elaun nafkah dan bayaran lebihmasa..."
Jadual Pertama telah mengesahkan di bawah seksyen 2, komisen, elaun nafkah dan bayaran lebihmasa adalah komponen kedua upah iaitu semua pembayaran lain dengan wang tunai, tetapi bagi maksud menetapkan seorang pekerja adalah pekerja di bawah Jadual atau tidak, tiga pembayaran lain dengan wang tunai iaitu komisen, elaun nafkah dan bayaran lebihmasa itu jika ada dijanjikan atau dibayar majikan kepada pekerja tidak akan diambil kira.
Illustrasi : A dibayar gaji pokok RM 1,900.00 dan komisen RM 200.00. Maka A masih pekerja di bawah Jadual Pertama kerana komisen tidak diambil kira untuk menentukan status pekerja terjadual.Upah bagi pekerja ini mengikut Jadual Pertama ialah RM 1,900.00


Komisen dan Seksyen 60I (Kadar Upah Biasa/ ORP)
Berbanding Jadual Pertama Seksyen 60I, mengeluarkan sebarang pembayaran yang dibuat di bawah skim gaji galakan yang diluluskan atau apa-apa pembayaran untuk kerja yang dilakukan pada hari rehat atau pada hari kelepasan am yang diwartakan yang diberikan oleh majikan di bawah kontrak perkhidmatan atau mana-mana hari yang digantikan bagi hari kelepasan am yang diwartakan. Jika menggunakan illustrasi yang sama maka di bawah Seksyen 60I (Kadar Upah Biasa/ ORP) komisen ialah;
Illustrasi : A dibayar gaji pokok RM 1,900.00 dan komisen RM 200.00. Maka kadar ORP bagi A di bawah seksyen 60I ialah RM 2,100.00 dibahagi 26 iaitu RM 80.76.

Kesimpulan

Komisen adalah komponen kedua 'upah' di bawah seksyen 2 Akta Kerja iaitu termasuk dalam semua pembayaran lain dengan wang tunai dibayar kepada seorang pekerja bagi kerja yang dibuat mengenai kontrak perkhidmatannya.